Ahad, 7 Jun 2015 | 1:40pm
Dr Mohd Khairuddin At-Takiri.

Usah terpengaruh provokasi Guan Eng - Dewan Ulama PAS

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat menggesa pimpinan negeri tidak terpengaruh dengan provokasi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang meminta supaya pimpinan PAS di negeri itu meletak jawatan.

Ketua Penerangannya, Dr Mohd Khairuddin At-Takiri, berkata pimpinan PAS di Pulau Pinang dan juga Selangor tidak harus bertindak mendahului keputusan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS pusat.

"Biarkanlah Guan Eng dengan segala keangkuhannya bertindak menurut apa yang dikehendaki oleh partinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, pendirian sama juga perlu dibuat di Selangor memandangkan kerajaan pakatan PAS-PKR-DAP yang dibentuk di negeri terbabit dibuat atas persetujuan baginda Sultan Selangor.

"Tidak perlu keluar daripada kerajaan Selangor sekarang. Kerajaan Selangor bukan milik bersendiri DAP tetapi milik bersama tiga parti yang menyumbang kemenangan dalam pilihan raya lalu.

"Tambahan pula Usul Dewan Ulama PAS Pusat juga pada masa sama menegaskan 'kekal dalam pakatan', bukannya keluar daripada pakatan. PAS tidak akan keluar daripada pakatan," katanya.

Katanya, sebagaimana penjelasan dibuat Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam ucapan penggulungannya bahawa "kita masuk tahaluf siyasi dengan hukum maka keputusan keluar juga mesti berdasarkan hukum."

"Dan hukum itu diputuskan oleh Majlis Syura Ulama bukannya muktamar. Apabila usul diputuskan untuk diterima tanpa bahas dalam muktamar, ia bermaksud meluluskan usul itu untuk diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

"Ia bukan bermaksud meluluskan usul untuk terus saja muktamar membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP," katanya .

Berita Harian X