Ahad, 7 Jun 2015 | 12:04am

Antara taman rekreasi terbaik di Ipoh

TENANG dan mendamaikan. Perasaan ini hadir sebaik sahaja tiba di Taman Rekreasi Gunung Lang, antara lokasi menarik yang boleh dikunjungi jika anda bercuti di Ipoh, Perak.


TAMAN Rekreasi Gunung Lang, Ipoh. - Foto Shakrul Faiz Shabani

Perjalanan ke taman rekreasi ini dari Bandaraya Ipoh sekitar 10 minit.

Papan tanda Taman Rekreasi Gunung Lang boleh dilihat dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Taman rekreasi ini berkeluasan 111.93 hektar merangkumi tasik dan dua gunung yang dikenali sebagai Gunung Bilike dan Gunung Lang.


PEMANDANGAN indah di sekitar kawasan Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh. - Foto Shakrul Faiz Shabani

Tasik di taman ini sebenarnya adalah tasik buatan yang terbentuk daripada perlombongan bijih timah pada era 70-an. Kewujudannya memberi kelebihan kepada pengunjung untuk menikmati keindahan alam, antara tumbuhan menghijau atau air tasik yang membiru.

Di sini terdapat kawasan bangunan utama, dilengkapi pejabat, kaunter tiket bot, taman permainan, tempat meletakkan kenderaan, kedai makanan dan cenderamata.

Untuk meneroka Taman Rekreasi Gunung Lang di sebarang tasik, kita perlu menaiki bot sejauh kira-kira 300 meter dari jeti.


JETI Rajawali di Kuala Dungun. - Foto Rosli Ilham

KEINDAHAN pemandangan pulau ini memberikan ketenangan kepada pengunjung.- Foto Imran Makhzan

Sementara menantikan bot, pengunjung boleh memberi makan kepada pelbagai jenis ikan air tawar seperti talapia, lampam dan keli. Memang seronok melihat ikan berebut-rebut mendapatkan makanan apabila kita mencampakkan makanan.

Sebaik tiba di seberang tasik, kita seakan-akan terbuai dengan keindahan taman yang luas serta landskap yang tersusun kemas di segenap kawasan.

Laluan pejalan kaki yang dibuat daripada kayu disediakan sepanjang tasik bagi memudahkan kita bersiar-siar di tebing tasik dan menikmati pemandangan bukit batu kapur.

Sementara itu, dua menara pandang juga tersedia bagi memudahkan pengunjung melihat keseluruhan panorama Taman Rekreasi Gunung Lang dan susunan landskap taman ini. Malahan, hati kita boleh terhibur dengan kicauan burung dan melihat gelagat monyet berpeleseran meminta makanan daripada orang ramai.


SUASANA tenang dan damai di Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh menarik kehadiran pengunjung. - Foto Shakrul Faiz Shabani

PELAWAT bergambar kenangan sambil berlatar belakangkan landskap menarik. - Foto Shakrul Faiz Shabani

Menariknya di sini, terdapat puluhan pokok sepit udang atau heliconia. Difahamkan taman rekreasi ini terdapat pokok sepit udang terbesar di Malaysia. Bunga lain yang turut ditanam di taman ini ialah kemboja, orkid dan bunga kertas.

Pembinaan tiga rumah tradisional Perak dan beberapa unit gazebo turut menambah tarikan taman ini.


PENGUNJUNG boleh berehat di rumah tradisional di Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh. - Foto Shakrul Faiz Shabani

Taman Rekreasi Gunung Lang juga memilik mini zoo yang menempatkan beberapa ekor rusa dan burung unta. Kita dibenarkan untuk memberi makanan kepada haiwan ini.

Bagi mereka yang memilih untuk bermalam di taman ini, tapak perkhemahan turut disediakan. Kawasan luas yang mampu menampung sehingga 600 orang pada satu-satu masa sangat sesuai dijadikan lokasi aktiviti keluarga, kem bina semangat atau motivasi dan perkhemahan.

Sementara itu ketika menaiki bot, kita akan dibawa mengelilingi kawasan tasik untuk melihat lebih dekat dinding batu kapur dan beberapa haiwan liar.


ANTARA haiwan peliharaan yang terdapat di Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh. - Foto Shakrul Faiz Shabani

Di satu sudut, terdapat tompokan hitam pada dinding kawasan batu kapur dan kalau diamati, kesan itu seakan-akan seorang wanita memakai sari.

Menurut cerita pemandu bot yang dikenali sebagai Rahman, kesan hitam itu sebenarnya terbentuk daripada titisan hujan.

INFO Taman Rekreasi Gunung Lang

  • Terdapat 86 jenis atau spesis pokok udang sepit

  • Bekas lombong bijih timah yang giat beroperasi sekitar tahun 70-an.

  • Diwartakan sebagai milik kerajaan negeri Perak tahun 1990

  • Taman rekreasi ketiga terbesar di Ipoh
152 dibaca
Berita Harian X