Sabtu, 6 Jun 2015 | 3:09pm
ANTARA kumpulan peserta Festival Tari Malaysia 2015.
ANTARA kumpulan peserta Festival Tari Malaysia 2015.

Vanidah Imran gementar kerana FESTARI 2015


LIMA selebriti yang akan jadi penyeri FESTARI 2015 malam ini.

KUALA LUMPUR: Beberapa jam lagi, Vanidah Imran akan beraksi di pentas Festival Tari Malaysia (FESTARI) bagi edisi 2015 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Bukan sebagai peserta tetapi sebaliknya Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem The Red Kebaya itu berada di situ atas tiket penyeri dengan membuat persembahan menari.

Selain Vanidah, empat lagi selebriti yang terbabit membuat persembahan untuk acara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu ialah Maya Matahari, Shiha Zikir, Adeline Tsen dan supermodel, Zahnita Wilson. Vanidah bakal membuat persembahan tarian India yang diberi sentuhan kontemporari.

Ironinya dunia tarian bukan asing bagi isteri kesayangan Rashidi Ishak itu kerana dia dan suaminya pernah memenangi pertandingan berpaksikan tarian, Sehati Berdansa musim pertama yang disiarkan di Astro sekitar 2007. Vanidah turut dilantik sebagai juri profesional pertandingan Mari Menari yang juga disiarkan di Astro.


ANTARA kumpulan peserta Festival Tari Malaysia 2015.

"Gementar saya bukan kepalang lagi. Biarpun saya pernah menari tapi sudah lama saya tinggalkan. Tapi saya cahut cabaran JKKN ini. Pastinya yang akan datang malam ini juga dalam kalangan penari profesional. Cuak juga rasanya. Tapi mahu atau tidak saya tidak boleh berundur lagi kerana tanggungjawab yang diamanahkan harus dilangsaikan," katanya yang ditemui malam tadi ketika melakukan sesi latihan di ibu pejabat JKKN di Menara TH Perdana berdekatan Maju Junction.

Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir yang pernah memikul mandat sebagai hos program Nona di TV3 itu turut memuji usaha JKKN dalam terus memartabatkan warisan seni termasuklah skop tarian tradisional.

"Melihat kepada semangat teman artis lain yang turut akan menari malam ini, tak sangka juga ramai yang mempunyai bakat terpendam sebagai penari. Usaha JKKN menerusi FESTARI ini harus disokong dan dipuji. Kepada lapan kumpulan peserta yang bertanding saya ucapkan selamat maju jaya untuk persaingan nanti," katanya.

Lapan kumpulan peserta yang berentap ialah Rentak (Selangor), Kumpulan Kesenian Pewaris (Terengganu), Nyala Dance Theatre (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Le'Waris UMK (Kelantan) Sanggar Budaya (Miri, Sarawak), Badan Kesenian Tentera Laut (Perak), Kumpulan Tari Aliff (Johor) dan Petra Tari SMKIP (Kelantan).

Acara ini bermula sejak 4 Jun dan akan melabuhkan tirai malam ini. Ia menjadi lanjutan kepada program yang dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan sejak tahun 1992. Acara seni ini membawa objektif murni yakni menyediakan ruang dan kemudahan kepada penggiat seni tari untuk berkarya di mana koreografer mahupun penari menunjukkan kreativiti dengan mempamerkan kualiti tarian yang bermutu tinggi, mantap dan kreatif selaras dengan nilai-nilai keperibadian kebangsaan.


ANTARA kumpulan peserta Festival Tari Malaysia 2015.

INFO

Ganjaran hadiah untuk lapan kumpulan bertanding

  • Johan - RM10,000 dan trofi serta sijil
  • Naib Johan - RM8,000 trofi dan sijil
  • Kumpulan Harapan - RM5000 trofi dan sijil
  • Koreografer Terbaik - RM3000 trofi dan sijil
  • Busana Terbaik RM3000 trofi dan sijil
  • Saguhati - RM2000 sijil
Berita Harian X