Sabtu, 6 Jun 2015 | 12:03am

Cafe Cerita Kambing


SEBAHAGIAN menu yang disajikan di Cafe Cerita Kambing. - Foto Amirudin Sahib

DAGING kambing sejak turun-temurun menjadi makanan popular kalangan masyarakat Asia Barat, malah ia diakui antara sajian sunnah Nabi Muhammad SAW.

Mengambil keberkatan dan boleh juga disebut menumpang populariti daging itu selain maklum mengenai khasiatnya yang banyak memberi manfaat kepada tubuh, Zakaria Ab Latif, 46, tampil membuka Cafe Cerita Kambing (CCK) yang menghidangkan pelbagai menu masakan menyelitkan kambing.

"Kebetulan saya ada sedikit kemahiran memasak nasi beriani dan hanya menyediakan lauk-pauk pelbagai jenis dan rasa.

Cuma saya ambil keputusan mengetengahkan aneka cita rasa kambing sebagai menu utama antaranya masala, kurma, sup, kari malah ada juga masak lemak cili padi," katanya.


PEMILIK Cafe Cerita Kambing, Chef Zakaria Ab Latip. - Foto Amirudin Sahib

Zakaria dengan bantuan isterinya, Noraziah Mohd Dahari, 48, berpengalaman selama 12 tahun sebagai pengusaha katering.

"Nasi beriani pula mengekalkan resipi turun-temurun keluarga dari Endau, Johor. Bukan mudah menyediakan adunan bersama lauk-pauk yang boleh sebati cita rasa pelanggan, sebaliknya perlu ada hasrat kuat mengekalkan keaslian rasanya," katanya.

Di CCK, Zakaria mengenakan harga RM9 bagi sepinggan nasi beriani kambing, minuman air kosong atau sirap.

Selain dimakan bersama beriani, CCK tidak ketinggalan menawarkan nasi putih yang nyata enak dihidangkan bersama sup daging kambing, atau daging kambing sama ada dipanggang atau dibakar.


MENU ayam masak merah di Cafe Cerita Kambing. - Foto Amirudin Sahib

Bagi mereka yang inginkan kelainan, disyorkan untuk mencuba nasi goreng berempah kambing dan nasi Arab Dubai Kambing.

"Berlawanan nasi goreng rempah yang kaya rencah, nasi Arab Dubai tidak banyak menggunakan rempah tetapi daging kambing itu diperap bersama rempah sebelum dimasukkan ke dalam sup," katanya yang banyak mengambil tempahan katering untuk majlis perkahwinan, meraikan makan malam atau ulang tahun syarikat korporat malah menyediakan sajian istimewa sambutan hari jadi.

CCK juga menawarkan sajian kambing bakar dan char kuey teow kambing.

"Biasanya char kuey teow mengutamakan ramuan kerang tetapi saya cuba ubah persepsi dengan mengetengahkan kambing sebagai penyedap rasa," katanya.


LAKSA Johor turut disajikan di Cafe Cerita Kambing. - Foto Amirudin Sahib

Zakaria mempunyai cara tersendiri menyediakan masakan daging kambing enak. Lazimnya, daging itu direbus terlebih dulu sehingga lembut sebelum dimasak selama dua jam bagi memastikan ia lebih empuk juga berperisa.

Bertujuan mempertahankan kualiti rasa, tidak banyak menu diketengahkan Zakaria tetapi menjadikan nasi goreng berempah kambing, ayam masak merah dan Laksa Johor sebagai sajian penting. Beliau tidak mahu hilang fokus selain gagal mengekalkan keenakan rasa hidangan disajikan.

"Saya mahu pelanggan benar-benar menikmati masakan di restoran ini. Begitupun, bukan bermaksud tidak ada pilihan langsung kerana di sini. Ada lebih 10 hidangan boleh dinikmati, termasuk pelbagai jenis bubur dan kuih-muih selain nasi dagang Terengganu pada setiap Khamis," jelasnya.

Di CCK juga ada pelbagai pilihan bubur seperti bubur pulut hitam, bubur kacang, bubur jagung, kuih-muih tradisional meliputi kuih talam berlauk, cara berlauk, koleh kacang, karipap dan cucur badak.


ANTARA jenis minuman yang disediakan di Cafe Cerita Kambing. - Foto Amirudin Sahib


KUALITI makanan dan kepuasan pelanggan sentiasa diberi keutamaan di Cafe Cerita Kambing. - Foto Amirudin Sahib

INFO
Cafe Cerita Kambing
Lokasi: Anggerik Mall, Shah Alam
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari kecuali Sabtu, dari jam 7 pagi hingga 5 petang
Keterangan lanjut: 019-3531320 atau e-mel noraziahdahari@gmail.com.

90 dibaca
Berita Harian X