Jumaat, 5 Jun 2015 | 7:30pm

Persipura dibubar, laluan percuma Pahang ke suku akhir

KUALA LUMPUR: Kelab bola sepak Indonesia, Persipura Jayapura yang sepatutnya menentang Pahang dalam saingan Piala AFC 26 Mei lalu, dibubarkan hari ini.

Mengikut laporan media negara itu, keputusan mengejut itu dibuat pengurusan pasukan Persipura berikutan kemelut yang berlaku membabitkan badan induk bola sepak Indonesia (PSSI) sehingga membawa kepada penggantungannya oleh FIFA.

Tindakan pengurusan Persipura itu dikatakan bakal menghadiahkan tiket percuma buat wakil negara, Pahang ke suku akhir kejohanan itu yang membabitkan kelab-kelab bola sepak di Asia.

"Pasukan Persipura dibubarkan dan kontrak pemain diputuskan. Ini disebabkan penggantungan daripada FIFA selepas pembekuan PSSI oleh Menpora (Menteri Pemuda dan Olahraga)," kata Ketua Umum Persipura, Benhur Tomi Mano.

Pahang ketika ini sedang menunggu keputusan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sama ada perlawanan ulangan perlu dijalankan atau mendapat kemenangan percuma selepas perlawanan yang dijadualkan pada 26 Mei lalu dibatalkan.

Perlawanan itu dibatalkan gara-gara empat pemain import pasukan Tok Gajah gagal mendapat visa untuk memasuki Indonesia.

Jurucakap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula menjelaskan pihaknya masih menunggu surat rasmi daripada AFC sama ada Pahang akan diberikan laluan percuma atau tidak.

Selain Pahang, satu lagi wakil Malaysia, Johor Darul Ta'zim turut beraksi dalam saingan Piala AFC dan sudah pun layak ke saingan suku akhir.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung PSSI dan pasukan kebangsaan Indonesia daripada beraksi dalam sebarang kejohanan antarabangsa selepas campur tangan kerajaan dalam badan induk terbabit.

Begitupun, Persipura berkata hanya pasukan itu dibubarkan namun pengurusan kelab itu masih ada.

Berita Harian X