Jumaat, 5 Jun 2015 | 12:04am
TUGU peringatan yang dibina pelarian Vietnam di Pulau Bidong. - Foto Syahirah Abdullah
ANTARA kesan peninggalan pelarian Vietnam yang masih terdapat di Pulau Bidong. - Foto Syahirah Abdullah
TUGU peringatan dibina pelarian Vietnam di Pulau Bidong. - Foto Syahirah Abdullah
SEBUAH kapal pelarian Vietnam yang dikatakan pecah dan tersadai di pesisir Pulau Bidong. - Foto Syahirah Abdullah
SATU daripada tempat penyembahan pelarian Vietnam di Pulau Bidong. - Foto Syahirah Abdullah
MOHD Bakar.

Terpaksa berkeras dengan pelarian Vietnam


KUALA TERENGGANU: "Mereka ini bersikap terdesak dan ada kalanya melakukan sesuatu yang di luar jangkaan kita. Sebagai contoh, jika mereka lihat ada nelayan tempatan mendarat di Jeti Pulau Bidong untuk berehat sebentar atau membaiki bot, mereka akan menyerbu bot nelayan ini bagi mendapatkan ikan untuk dijual," kata Osman Talib, 72.

Beliau yang bertugas sebagai anggota pasukan keselamatan mengawal Pulau Bidong sejak ia dijadikan pulau menempatkan pelarian Vietnam pada tahun 1978 berkata, pelarian berkenaan tidak akan turun daripada bot selagi tidak mendapat apa yang diingininya.

 

"Mereka berebut mahu mengambil hasil ikan yang diperoleh nelayan tempatan untuk dijual sesama mereka kerana itulah cara untuk mereka mendapatkan wang.

PULAU Bidong. - Foto Syahirah Abdullah

"Kadang kala ada nelayan kita terpaksa menggunakan sedikit kekerasan dan tidak melayan kehendak mereka, jika tidak keselamatan orang kita pula yang terancam," katanya.

Empat tahun ditugaskan di pulau itu, banyak pengalaman ditimba Osman yang mesra disapa sebagai Pok Man. Apa yang diceritakan Pok Man turut diakui dua nelayan tempatan, Mazlan Mat Jusoh, 48 dan Mohd Bakar, 40.

Kata mereka, sejak Pulau Bidong diwartakan sebagai pulau menempatkan ratusan ribu pelarian Vietnam ketika itu, nelayan dilarang mendarat di pulau itu.

Bagaimanapun, kata mereka, kedudukan Pulau Bidong yang terlindung daripada angin kencang dan ombak kuat menyebabkan ada kalanya nelayan terpaksa pergi berteduh di situ bagi mengelak bot rosak dan keselamatan mereka terancam di laut.

LUBANG yang dikorek pelarian Vietnam ketika mendiami Pulau Bidong. - Foto Syahirah Abdullah

"Kadang kala jika cuaca tidak bagus, kami terpaksa berlindung di sini sebentar dan sebaik singgah di sini, kami akan 'dihurung' dan dikejar pelarian Vietnam yang mahu mendapatkan ikan daripada kami untuk dijual sesama mereka.

"Selagi mereka tidak dapat apa yang diingini, selagi itulah mereka akan terus berkeras menunggu di atas bot sehinggakan kami terpaksa mengambil tindakan keras untuk 'menghalau' mereka," kata Mazlan yang menjadi nelayan sejak berusia belasan tahun.

Katanya, walaupun pelarian Vietnam disediakan tempat tinggal selesa yang dibina mereka sendiri dan dibekalkan dengan bekalan makanan mencukupi oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), mereka masih mahu mencari duit poket sendiri.

"Itulah pula kelebihan mereka. Mereka sangat rajin bekerja dan tidak pernah duduk diam. Jangan tidak tahu di pulau ini ada bengkel membaiki kereta. Di sini, anak muda diajar cara membaiki kereta dan kereta yang dibaiki akan dihantar ke darat menaiki kapal mereka.

BEKAS tapak rumah pelarian Vietnam sekitar tahun 1978. - Foto Syahirah Abdullah

"Pelarian wanita juga rajin bekerja antaranya menjahit dan kemudian dijual kepada pelarian lain di pulau ini. Jangan tidak tahu, pelarian Vietnam di pulau ini dulu bukan saja dari kalangan orang kampung, tetapi juga golongan elit dan profesional," katanya.

Tinjauan di pulau itu yang kini terbiar mendapati, masih ade beberapa kesan tinggalan tapak rumah yang menjadi kediaman pelarian ketika itu, malah di puncak bukit di pulau itu juga masih utuh kesan sejarah seperti tugu peringatan dan rumah ibadat Kristian serta Buddha.

"Di puncak bukit ini, mereka buat tugu peringatan yang mengabadikan nama setiap pelarian yang sudah meninggal dunia. Malah, segelintir pelarian masih datang ke sini setahun atau dua tahun sekali untuk menziarah pusara saudara mereka di sini.

 

"Malah, sebelum meninggalkan pulau ini, pelarian Vietnam sempat membina tugu khas yang merakamkan penghargaan pada kerajaan Malaysia kerana membenarkan mereka berlindung di pulau ini, " katanya.

RUMAH pelarian Vietnam sekitar tahun 1978. - Foto Syahirah Abdullah

Menceritakan lagi pengalamannya sepanjang empat tahun bertugas di pulau itu, Pok Man berkata, pelarian Vietnam banyak membina telaga yang dipercayai mempunyai rahsia tersendiri.

"Ada lebih 100 telaga yang dibina mereka. Apabila ditanya, mereka kata telaga air, tetapi sebenarnya kami tahu mereka menyimpan sesuatu dalam telaga itu. Pulau ini juga ketika itu dilengkapi dengan segala kemudahan seperti hospital, sekolah, pejabat pos dan balai raya untuk kemudahan penduduk.

"Bekalan makanan akan dihantar oleh UNHCR setiap minggu. Malah, menariknya pelarian di sini turut membuka kilang roti yang kemudian dijual sesama mereka sendiri," katanya.

Pok Man berkata, selepas pulau itu ditutup sebagai pusat pelarian, ia kini menjadi lokasi persinggahan nelayan tempatan untuk berehat dan membaiki bot masing-masing.

JETI di Pulau Bidong. - Foto Syahirah Abdullah

Katanya sejak ditutup dengan rasmi pada 30 Ogos 1991, banyak peristiwa aneh dan misteri berlaku kepada pengunjung pulau itu yang kebanyakannya untuk melakukan kajian dan aktiviti air.

"Ketika bertugas di sini dulu, ada juga rakan sekerja mengalami kejadian misteri apabila mereka sering mendengar suara memanggil-manggil sedangkan tiada orang di sekeliling.

"Cerita misteri ini dikatakan tidak pernah berhenti. Buktinya ada beberapa kes pengunjung pulau ini hilang arah seketika dan tidak nampak jalan pulang selepas menjelajah sebahagian pulau ini. Sebaik sedar, mereka lihat mereka berada di tempat lain, bukan di tempat mereka berada sebelum itu," katanya.

Berita Harian X