Khamis, 4 Jun 2015 | 1:59pm

Keputusan pemilihan sayap isyarat untuk Hadi kekal - Nik Abduh


HADI (kiri) bertemu dengan timbalannya, Mohamad Sabu sebaik tiba di Muktamar Tahunan PAS Ke- 61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor hari ini. Turut hadir Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (tiga dari kanan). - Foto BERNAMA

KUALA SELANGOR: Keputusan pemilihan tiga sayap PAS semalam memberi isyarat jelas mahukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus kekal menerajui parti.

Demikian menurut Ketua Dewan Pemuda PAS yang baharu, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, sambil berharap nada sama akan didengar menerusi muktamar penuh yang bermula hari ini.

"Kalau kita perhatikan dalam tiga mesyuarat dewan semalam memberi satu dedikasi untuk tuan guru presiden terus memimpin PAS.

"Dengan isu-isu yang berlaku dalam PAS dan pakatan, nampak sekata dalam ucapan perwakilan (semalam) dan keputusan pemilihan menunjukkan dewan memberi komitmen tinggi bersama dengan tuan guru Abdul Hadi," katanya.

Ditanya sama ada keyakinan Abdul Hadi untuk terus menerajui parti pada pemiihan kali ini semakin jelas, Nik Abduh berkata ia terpulang kepada pemilihan perwakilan.

"Dalam dewan (ketiga sayap PAS) itu sudah jelas...kalau nak jelas lagi tunggu pemilihan," katany ketika ditemui hari ini.

Pada pemilihan kali ini, Abdul Hadi akan ditentang Datuk Ahmad Awang, pemimpin veteran yang dikaitkan dengan gerakan sebuah NGO yang mendapat kritikan ramai pimpinan PAS, iaitu PASMA.

Dalam pemilihan sayap semalam, Nik Abduh yang dikaitkan dengan kumpulan pro-ulama berjaya menewaskan pencabarnya yang juga penyandang, Suhaizan Kaiat dengan majoriti lebih 100 undi.

Sementara Dewan Muslimat pula menyaksikan pencabar, Nuridah Mohd Salleh menewaskan penyandang, Siti Zailah Mohd Yusof dengan majoriti 30 undi.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mahfodz Mohamad, menjelaskan usul tergempar semalam itu adalah amaran keras dan gesaan kepada DAP supaya tidak lagi mencampuri urusan dalaman PAS.

"Usul tergempar itu...bagi saya ia amaran kepada DAP. Kita parti Islam ada kemuliaan, kalau orang serang, kita asyik diam saja pun tak kena juga.

"Niat saya pun bukan nak (PAS) keluar daripada pakatan, sekurang-kurangnya amaran kepada DAP...kita tidak sentuh pun PKR," katanya.

Beliau juga mahu supaya usul tergempar Dewan Ulama semalam itu dibahaskan pada muktamar kali ini, dan terserah kepada perwakilan menilai dan membuat keputusan.

"Saya semalam ada perbincangan dengan AJK (Dewan Ulama PAS), nampaknya majoriti mahu supaya usul ulama dibahaskan sama ada diterima atau tidak, terpulang.

"Ulama hanya satu bahagian (dalam PAS), banyak lagi perwakilan daripada bahagian lain. Jadi tak tahulah apa akan berlaku nanti," katanya.

Berita Harian X