Khamis, 4 Jun 2015 | 1:35am

Dewan ulama PAS lulus usul putus hubungan DAP


KETUA Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed (empat dari kanan) dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Mohd Zawawi Salleh (tiga dari kanan) bergambar bersama ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS selepas Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat ke-54 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Muktamar Dewan Ulama PAS semalam sebulat suara meluluskan usul tergempar iaitu membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP dan memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.

Bagaimanapun usul yang dikemukakan Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik dalam muktamar itu yang berlangsung di Taman Melewar, Gombak, di sini mahu PAS meneruskan kerjasama dengan PKR dan pakatan rakyat.

Ketika membentangkan usul berkenaan, Mokhtar berkata langkah itu perlu dilakukan kerana DAP sebagai rakan kerjasama politik PAS menerusi pakatan rakyat, secara rasmi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku ketua kepada PAS.

Dalam usul itu, beliau menggariskan beberapa sebab supaya tahaluf siyasi dengan DAP dibatalkan iaitu:

* menyedari pakatan rakyat di Sarawak dan Sabah dibubarkan ekoran tekanan daripada DAP;

* menyedari bahawa DAP melangkaui batas daripada hanya tidak bersetuju kepada menentang dan mengkritik lantang, keras serta melobi ahli-ahli PAS untuk menolak usaha memperkasakan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan yang telah dikanunkan pada 1993 sebelum penubuhan pakatan rakyat;

* menyedari DAP menerusi (Penasihat DAP) Lim Kit Siang dalam satu soalan rasmi ke parlimen 18 Mei lepas melakukan provokasi terhadap PAS Kelantan untuk meminda perlembagaan bagi melaksanakan Kanun Jenayah Syariah di negeri itu dengan cuba menyifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat kenegaraaan dan boleh memecahbelahkan negara;

* menyedari DAP secara konsisten dan berterusan menyerang presiden PAS secara dengan pelbagai tohmahan dan kutukan, secara berterusan dan konsisten melakukan provokasi terhadap kedudukan PAS dalam pakatan rakyat;

* DAP juga telah gagal memegang prinsip setuju untuk tidak bersetuju dalam prinsip dan perjuangan bersendiri dalam parti dan pakatan rakyat seperti perjuangan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah.

Selain itu, Mokhtar berkata kerjasama itu juga perlu dibatalkan disebabkan syarat tahaluf siyasi dengan parti yang tidak berlandaskan Islam mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam, membuka ruang untuk pelaksanaan Islam dan dipastikan dasar Islam dipertahankan.

Bagaimanapun sebahagian syarat-syarat keharusan kerjasama politik dengan parti bukan Islam telah dilanggar oleh sebahagian ahli PAS antaranya intimak iaitu penggabungan diri dan wala' (ketaatan) ahli hendaklah kepada parti Islam.

"Maka Muktamar Dewan Ulama kali-54 hari ini mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan jawatankuasa PAS pusat supaya kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS kekal dalam pakatan rakyat," katanya.

Mokhtar, yang juga wakil AJK PAS Pusat, berkata memutuskan hubungan dengan DAP bukan bermakna PAS memutuskan hubungan dengan PKR dan pakatan rakyat dan PAS akan kekal dalam pakatan tersebut.

Perwakilan Dewan Ulama PAS Perak Norazli Musa kemudian bangun menyokong dan meminta semua ahli perwakilan turut menyokong usul berkenaan.

Semua perwakilan yang berada di dalam Dewan Dato' Haji Fadzil Noor, tempat muktamar itu berlangsung, kemudian bangun menyokong usul tersebut sambil melaungkan takbir.

Perwakilan Dewan Ulama Kelantan Hassan Mahmood yang turut menyokong bagaimanapun mencadangkan agar usul itu diteliti dan dikaji terlebih dahulu secara rasmi oleh Majlis Syura sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Konsep kita ialah menjelas...saya juga tidak setuju DAP serang kita. Kita boleh serang semula tetapi dengan memberi penjelasan dari segi detailnya, maslahahnya itu dasar kita," katanya.

Terdahulu ketika membahaskan ucapan dasar, beberapa perwakilan termasuk dari Pulau Pinang, Mohamad Hanif Harun menggesa supaya tahaluf siyasi dikaji semula dengan menyatakan PAS Pulau Pinang tersisih daripada pimpinan pakatan rakyat negeri berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X