Khamis, 4 Jun 2015 | 12:04am
ZAHNITA bersama anaknya.
DUA cahaya mata menyerikan rumah tangga yang dilayari Zahnita bersama Abdul Zackery Ghouse.
PENYERI hidup Zahnita dan suami.
ZAHNITA Dorothy Hussein Wilson.

Pelakon Kuliah Cinta jadi pensyarah


BERMULA di arena seni sebagai pelakon dan pernah membintangi filem contohnya seperti Kuliah Cinta dan Gila-Gila Pengantin Remaja, Zahnita Wilson, akhirnya lebih dikenali sebagai peragawati.

Lakonan tidak menjanjikan pulangan hebat dan kurang memberi kepuasan kepadanya menyebabkan wanita ini kemudiannya nekad menceburi bidang peragaan. Namun, selepas 10 tahun berada dalam bidang itu, beliau sekali lagi akur, beliau perlu melakukan sesuatu yang lain bagi memastikan kelangsungan hidup.

"Apabila dunia lakonan tidak memberikan pulangan hebat dan keghairahan lebih, saya nekad ceburi peragaan. Saya perlu meneruskan survival hidup kerana perlu bayar bil itu dan ini.


ZAHNITA lebih dikenali dalam bidang peragaan berbanding lakonan.

"Tapi dunia peragaan juga ada risikonya. Pendapatan tidak selalunya stabil. Pernah pada satu tahap kereta saya hampir ditarik. Itulah satu kesan utama kalau jadi model kerana pendapatan tak menentu. Ada dalam sebulan, kita boleh dapat banyak tawaran memperaga dan menerima ganjaran puluhan ribu...bulan seterusnya tiada pula tawaran yang mendatang. Pertunjukan fesyen pun bukannya sepanjang masa.

"Kalau sibuk bulan April dan Mei, seterusnya bulan Jun dan berikutnya kena pandai cari lubang untuk hidup. Kena cari pendapatan sampingan untuk meneruskan hidup. Saya pernah buat kelas dandanan, pernah juga buka kedai makan dengan duit simpanan hasil memperaga tapi nampaknya memang saya tak bertuah dalam bidang ini. Tapi kegagalan itu jadi ruang untuk kita belajar mengenai hidup," katanya.

Zahnita bersyukur kerana beliau kini juga bergelar pensyarah dalam bidang fesyen di sebuah universiti. Wanita kacukan New Zealand dan Melayu itu amat berterima kasih kepada pihak Management & Science University di Shah Alam kerana menawarkan peluang itu kepadanya.


DARI kiri, Maya, Shiha Zikir dan Zahnita akan membuat persembahan tarian pada 6 Jun ini pada Festival Tari Malaysia 2015.

"Selepas 10 tahun berkecimpung dalam arena peragaan dan industri fesyen, saya tak boleh buang masa. Setidak-tidaknya juga kerjaya baharu ini membolehkan saya berkongsi pengalaman yang ada.

"Saya amat yakin, peragaan ini bukan selama-lamanya untuk saya. Jadi, kerjaya baharu ini adalah satu langkah ke fasa yang lebih baik untuk ke peringkat seterusnya. Takkan saya nak duduk di rumah sahaja kalau dunia peragaan tidak menyebelahi saya," katanya.

Ibu kepada dua anak itu juga kini dalam perancangan untuk mengadakan kelas dandanan dan pembinaan imej buat lepasan universiti.

"Golongan sebegini sebenarnya perlukan keyakinan diri, contohnya untuk pergi temu bual kerja dan mereka perlu bijak memasarkan diri. Ia masih di peringkat cadangan.

"Sebelum ini, saya pernah buka kelas studio grooming untuk model, tapi ada yang baru berjinak ini, malu-malu. Kalau nak jadi model, perasaan malu kena dihakis. Bayangkan saya suruh seorang model baru ini catwalk pun, dia boleh tersipu-sipu malu. Saya katakan kepada dia lebih baik balik sahaja. Susah nak jadi model kalau tak pandai pasarkan diri kerana ramai model di luar sana yang bersaing sesama sendiri," katanya.


ZAHNITA ketika sesi latihan tarian untuk Festari 2015.

Kata Zahnita, menjadi model bukan sekadar pos (bergaya) cantik dan memperagakan barang. Model perlu bijak memasarkan diri, lebih-lebih lagi dengan bilangan model yang ramai dan persaingan yang hebat.

"Alhamdulillah, berkat pandai memasarkan diri, saya sudah lapan tahun menjadi model untuk sebuah syarikat fabrik," katanya, namun mengakui `bergelut' untuk terus relevan dalam bidang itu.

Beliau menolak tanggapan, gadis kacukan mendapat tiket mudah untuk berjaya dalam bidang itu.

Lama menyepi dari dunia lakonan, Zahnita berkata, beliau masih berminat untuk berlakon tetapi mungkin tidak menyebelahi dirinya

untuk mendapat tawaran yang betul-betul menguji keupayaannya. Kali terakhir menerima tawaran sekitar lima tahun dulu.

"Saya menang agak cerewet apabila bercakap soal tawaran dan watak. Pernah sekali saya ditawarkan watak menjadi makhluk asing berambut perang yang datang ke Malaysia untuk belajar adat orang Melayu. Tawaran itu membuatkan saya geleng kepala. Ia memang tawaran lakonan yang teruk pernah saya terima.

"Malah, saya juga sering diberikan watak gedik yang langsung tidak mencabar diri. Sebab itu, saya sudah lagi tidak berlakon sampai sekarang. Kali terakhir saya berlakon ialah menerusi filem Kuliah Cinta," katanya yang ditemui pada sidang media Festival Tari Malaysia (Festari) 2015, di ibu kota.


WAJAH Pan Asia bukan lesen mudah untuk berjaya dalam dunia peragaan.

Mahu menjadi penari pula? Zahnita tergelak kecil. Penyertaannya dalam festival itu hanya sekadar mencabar diri.

"Setakat menari depan suami dan anak-anak itu adalah. Agak gementar juga membuat persembahan tarian ini. Tapi saya mencabar diri dan kalau nak tengok saya menari tarian Asyik, kenalah datang malam Sabtu ini," katanya mengenai pertandingan tarian anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) itu.

Selain Zahnita, empat lagi artis akan membuat persembahan selingan pada 6 Jun ini, bertempat di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Mereka adalah Maya Matahari, Shiha Zikir, Vanidah Imran dan Adeline Tsen.

Lapan kumpulan akan berentap pada festival itu iaitu Rentak (Selangor), Kumpulan Kesenian Pewaris (Terengganu), Nyala Dance Theatre (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Le'Waris UMK (Kelantan), Sanggar Budaya (Sarawak), Badan Kesenian Tentera Laut (Perak), Kumpulan Tari Aliff (Johor) dan Petra Tari SMKIP (Kelantan).

Pada pertemuan singkat itu, Zahnita juga menjelaskan status dirinya. Pada 3 Jun ini, genap 10 tahun usia perkahwinan beliau bersama Abdul Zackery Ghouse. Rumah tangganya pernah bergolak sekitar tahun 2011 sehingga diheret ke mahkamah. Zahnita juga dilaporkan pernah menuntut fasakh dan memfailkan saman kepada suaminya.


ZAHNITA bersama suaminya.

"Hidup ini biasalah pasti ada pasang surutnya. Saya juga tak sempurna. Pernah nekad seperti mahu hidup sendirian dan boleh berdikari, tetapi suami saya tidak mahu lepaskan saya. Perasaan sayang itu masih ada antara kami dan lebih penting kami berdua ada zuriat yang masih memerlukan kasih sayang serta cinta. Malah, ketika berlaku kehambaran dalam rumah tangga kami, saya sendiri keliru dengan apa yang patut dibuat.

"Saya sedar saya tak boleh bersikap pentingkan diri sendiri dan saya tak boleh sewenang-wenangnya menghalang cinta bapa kepada anak. Kami memang bergelut beberapa tahun lalu tapi Alhamdulillah, semuanya kian pulih.

"Kami masih bersama. Benar, tak semudah itu untuk melepaskan kenangan bersama dan membina kehidupan baharu. Apa yang terjadi ada hikmah di sebaliknya. Ia menguji kesetiaan dan cinta kita kepada insan tersayang. Apa yang berlaku umpama episod hitam yang mahu pantas dihakis," katanya.

Info Zahnita Wilson
* Nama penuh: Zahnita Dorothy Hussein Wilson.
* Bernikah dengan Abdul Zackery Ghouse pada 3 Jun 2005.
* Dikurniakan dua anak, Zahrafeena, lapan tahun dan Zasharayna, dua tahun.

Berita Harian X