Isnin, 1 Jun 2015 | 12:02am

Gadai barang kemas, tebalkan muka pinjam modal berniaga

PENGASAS Min Beauty Spa, Jasmin Ismail bersama anaknya, Azhani Azman. - Foto Surianie Mohd Hanif

JUAL ayam golek di bazar Ramadan, gadai barang kemas dan menyediakan perkhidmatan rawatan muka di rumah antara usaha gigih yang dilakukan seorang ibu tunggal sebelum beliau muncul bergelar seorang usahawan.

Tidak cukup dengan itu, beliau terpaksa 'menebalkan muka' meminjam duit daripada bekas ibu mentua dan ahli keluarga untuk dijadikan modal permulaan bagi membuka sebuah pusat rawatan kecantikan milik sendiri.

Bersengkang mata, bermandi keringat dan menahan rasa malu tidak menjadi 'kudis' bagi dirinya kerana niat nekad beliau adalah untuk membuka sebuah rawatan kecantikan sendiri.

Penulis yang berkesempatan menemui Jasmin Ismail, ibu tunggal kepada empat anak yang kini berusia 54 tahun, menyedari kegigihan beliau itu timbul daripada takdir hidup.

JASMIN Ismail. - Foto Surianie Mohd Hanif

"Kakak ini adalah ibu tunggal, ada empat anak. Kakak berasal daripada keluarga miskin, anak ketiga daripada 12 adik-beradik. Kahwin dalam usia muda, 18 tahun dan masa kakak berusia 33 tahun dan mengandungkan anak keempat, kakak bercerai," katanya spontan ketika memulakan perbualan.

Pengasas dan pemilik Min Beauty Salon itu berkata, selepas bercerai, beliau banyak bermuhasabah diri dan berusaha untuk memperbaiki kehidupan kerana menyedari tanggungan berat yang terpaksa dipikul selepas bergelar ibu tunggal.

"Saya memang minat kepada bidang kecantikan, malah masa kecil sering menjadikan wajah adik-adik perempuan sebagai model untuk disolek.

"Selepas melahirkan anak dan habis berpantang, saya menghadiri kelas tambahan Bahasa Inggeris dan bekerja di sebuah syarikat kosmetik milik Bumiputera pada tahun 1996 untuk mencari pengalaman. Pada masa itu, saya hanya dibayar gaji sebanyak RM500 sebulan," katanya.

Bermula daripada langkah pertama, Jasmin terus mengatur jejak dan menerima tawaran bekerja di sebuah syarikat lain sebagai seorang daripada tenaga pengajar kecantikan dengan tawaran gaji agak lumayan.

"Dari situ, saya berusaha menimba ilmu sebanyak mungkin dan mula mengumpul duit untuk dijadikan modal membuka perniagaan sendiri.

JASMIN Ismail di salun kecantikannya. - Foto Surianie Mohd Hanif

"Saya juga gunakan masa cuti dengan membuka kaunter kecil di sebuah pasaran untuk menyediakan rawatan muka dan membawa pelanggan pulang ke rumah jika mereka ingin mendapatkan rawatan semata-mata untuk mengumpulkan wang.

"Pada bulan puasa pula, saya tidak melepaskan peluang untuk mencari duit lebih dengan menjual ayam golek di bazar Ramadan. Pada masa itu, anak-anak sentiasa memberi semangat dan membantu saya. Mereka menyediakan ramuan, malah turut sama membakar ayam golek di bazar," katanya yang turut mendapat sokongan keluarga, termasuk bekas ibu mentua.

Selepas beberapa tahun berusaha, Jasmin akhirnya mampu membuka sebuah salun kecantikan di Pandan Capital pada tahun 1997 dengan modal permulaan sebanyak RM40,000.

Adat berniaga, ada pasang surutnya. Begitu juga dengan Jasmin. Beliau diuji apabila operasi Pandan Capital terpaksa ditamatkan pada tahun 2000. Kegagalan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya. Beliau menukar strategi pemasaran dengan keluar sendiri mengedarkan risalah, membuat iklan di media cetak dan membina rangkaian.

Kira-kira setahun setengah berdepan dengan jualan merosot, beliau akhirnya menyertai sebuah syarikat jualan langsung terkemuka dan menjual barangan daripada syarikat berkenaan.

"Pada masa itu, saya mampu menarik nafas lega apabila jualan akhirnya meningkat dan mampu mencatatkan jualan tujuh angka setahun gabungan jualan produk syarikat jualan langsung itu dengan jualan dari salun.

"Min Beauty mula dikenali ramai dan pelanggan saya mula meningkat. Selepas itu, saya juga mula menukarkan konsep salun saya kepada salun Muslimah bagi memberi peluang kepada wanita untuk mendapatkan rawatan kecantikan dengan lebih selesa," katanya yang kini menerima pelanggan tetap bukan sahaja sekitar Lembah Klang, tetapi juga dari Terengganu dan Pulau Pinang.

Beliau turut mendapat bantuan pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) berjumlah RM50,000 bagi menampung kos perbelanjaan mengubah suai salunnya.

Tidak lengkap apabila berbicara dengan seorang usahawan apabila tidak menceritakan perancangannya pada masa depan. Begitu juga dengan Jasmin apabila beliau merancang untuk memperluaskan operasi perniagaan dengan membina premis sendiri yang menyediakan rawatan kecantikan wanita secara lengkap.

"Saya merancang untuk membeli sebuah bangunan sendiri dan membuka pusat kecantikan yang menyediakan dari hujung rambut ke hujung kaki kepada wanita, menjelang tahun 2020 nanti," katanya yang menganggarkan perbelanjaan modal bagi membuka pusat rawatan itu lebih RM1 juta.

JASMIN Ismail menunjukkan produk keluaran syarikatnya. - Foto Surianie Mohd Hanif

Beliau juga kini sedang berusaha mengumpulkan modal bagi melancarkan produk keluaran sendiri berupa minyak urut tradisional, tungku herba dan set penjagaan muka yang 100 peratus menggunakan ramuan tradisi keluarganya.

Berita Harian X