Ahad, 31 Mei 2015 | 7:33pm
KETUA jurulatih Napoli. Rafael Benitez tersenyum ketika sidang media di Naples, Itali. Benitez ketika ini hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid selepas kelab itu memecat jurulatihnya, Carlo Ancelotti. - Foto EPA

Rahsia kehadiran Benitez di Real terbongkar

MADRID: Naib Presiden kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Eduardo Fernandez de Blas secara tidak sengaja mengumumkan pelantikan Rafael Benitez sebagai jurulatih baharu kelab itu pada mesyuarat bersama peminat.

Real memecat jurulatih popular kelab itu, Carlo Ancelotti, pada Isnin selepas Los Blancos menamatkan musim tanpa sebarang trofi major dan De Blas terlepas cakap mengenai kehadiran Banitez apabila disoal oleh peminat yang berang mengapa pengendali kelahiran Itali itu dilepaskan.

"Carlo Ancelotti adalah fenomena. Kami berterima kasih kepadanya. Sehingga tiga hari lalu, bagi saya dia adalah jurulatih terbaik di dunia, seperti dua tahun lalu ketika bersama Jose Mourinho dan bermula daripada minggu depan, ia adalah Rafael Benitez," kata De Blas yang dipetik daripada laporan akhbar harian sukan Madrid, AS.

Benitez minggu lalu mengumumkan akan meninggalkan Napoli selepas pertembungan penting bertemu Lazio, hari ini yang membawa kepada pengakhiran dua tahun bersama kelab gergasi Itali itu.

Jurulatih berusia 55 tahun itu memulakan kerjaya kejurulatihan bersama skuad remaja Real sebelum berhijrah dan menjuarai trofi bersama Valencia, Liverpool, Inter Milan, Chelsea dan Napoli.

Begitupun, rata-rata peminat Real kurang yakin dengan kemampuan pengendali kelahiran Sepanyol itu untuk membimbing kelab itu menjuarai gelaran liga kerana kali terakhir Benitez menjuarai liga domestik ialah 11 tahun lalu bersama Valencia. - AFP

Berita Harian X