Ahad, 31 Mei 2015 | 12:07am

Unsur liberalisme pengaruhi filem dakwah 


SAYED Munawar (kiri) bersama Mahadi (dua dari kiri), U-Wei (dua dari kanan) dan Razaisham (kanan) pada Wawancara Sofa Putih ITBM mengenai Filem/Teater Islamik Kontemporari: Orientasi Dakwah atau Keuntungan? di PWTC. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KESUSASTERAAN tanah air tidak kekontangan daripada teks sastera berunsurkan Islam yang berkualiti, tetapi karya bernuansa sebegitu jarang diadaptasi ke dalam bentuk visual khususnya teater dan filem.

Lebih malang lagi, apabila ada sebahagian pembikin filem yang mempunyai tanggapan stereotaip dengan menganggap karya sastera Islam yang dihasilkan pengarang tempatan tidak sehebat teks luar negara terutama novel yang dihasilkan oleh penulis Indonesia.


U-WEI Shaari. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pandangan stereotaip itu ditolak oleh sutradara, U-Wei Shaari, yang menegaskan banyak teks sastera Malaysia yang baik dan layak diangkat ke layar lebar, selain mengakui beliau mempunyai masalah dengan banyak karya adaptasi teks Indonesia, antaranya filem Sang Pencerah.

"Tidak ada kurangnya dengan sastera tempatan berbanding negara seberang. Indonesia pernah mempunyai filem yang diangkat daripada teks hebat, iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah oleh Hamka, tetapi garapannya gagal dan sangat tidak Islamik sehingga merendahkan karya asal.

"Persoalan yang perlu kita jawab sebenarnya, apakah pembikin filem memiliki pegangan dan arah tuju yang jelas dalam menyampaikan mesej ke-Islamannya melalui bidangnya. Kita tidak mahu filem semata-mata bertemakan Islam, sebaliknya kita perlukan karya filem Islamik yang memiliki banyak perbezaan," katanya pada Wawancara Sofa Putih Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) berjudul Filem/Teater Islamik Kontemporari: Orientasi Dakwah atau Keuntungan? di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hal itu dibangkitkan oleh U-Wei sebagai reaksi terhadap kenyataan pengarah muda, Razaisham Rashid, yang menyifatkan filem Indonesia lebih berjaya kerana karya sasteranya jauh lebih bagus berbanding teks tempatan.

 


SAYED Munawar Sayed Mustar . - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pada acara yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar, U-Wei turut menegaskan, unsur liberalisme dalam filem yang dilabel sarat dengan 'dakwah' antara isu penting yang perlu diberi penekanan dan perhatian rapi.

"Banyak buku di pasaran dunia hari ini memetik Islam sebagai beban dan masalah antaranya naskhah tulisan penulis Kanada, Irshad Manji yang tampil dengan The Trouble with Islam Today. Begitu juga dengan filem, apabila kita terlalu mahu diterima Barat, corak cerita akhirnya berpaksikan pemikiran mereka sehingga muncul banyak filem dengan suntikan liberal sedangkan filem tanah air perlu kaya dengan nilai Islam dan bebas daripada pengaruh luar.

"Filem pada saya ialah kombinasi sastera, sains dan teknologi, tanpa kepakaran ia tidak bermakna. Lebih penting adalah buat filem dulu dengan memasukkan pola pemikiran Islamik, iaitu kaya dengan pesanan dan pelajaran," katanya.

 


DR Mahadi J Murad. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Turut menyentuh isu liberalisme dalam filem ialah Dr Mahadi J Murat, yang mengingatkan ia sebagai ancaman yang semakin menggusarkan masyarakat Islam dunia, sekali gus menekankan keperluan pemikiran Islam dikupas lebih mendalam dalam bentuk visual.

"Era moden masa kini memberikan tekanan yang lebih dengan gerakan liberalisme yang ada kalanya dicetuskan oleh umat Islam sendiri. Ia seharusnya digerakkan secara tuntas, bukan hanya menggambarkan Islam dengan mengambil label tertentu atau bergantung kepada perkara yang ketara semata-mata, sebaliknya menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan," katanya.

Sementara itu, Razaisham melihat industri filem tempatan dibanjiri dengan karya murahan dan mengambil mudah elemen dakwah yang disampaikan sehingga tidak ada unsur sinematik.

 


MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. - Foto Rozainah Zakaria

"Filem murahan begini barangkali boleh jadi filem yang dekat dengan penonton, tetapi bagi saya ia adalah pengaruh liberalisme. Mesej yang ingin disampaikan terlalu mudah sehingga tidak ada elemen bahasa filem, yang akhirnya kita hanya mampu menghasilkan filem dengan plot sama iaitu berakhir dengan watak jahat yang kemudian insaf pada akhir cerita," katanya.

Menutup forum yang tidak sempat memperhalusi aspek teater Islam itu, Mahadi berkata, ada dua perkara yang paling memberi masalah kepada industri filem dalam menghasilkan karya berunsurkan Islam, iaitu keliru dengan permintaan dan kurang komited untuk membikin filem bagi tujuan dakwah.

"Fenomena pertumbuhan filem yang dikatakan bernuansa Islam seperti Ayat-Ayat Cinta dari Indonesia sebenarnya dihasilkan oleh orang bukan Islam, sehingga ia amat meresahkan kerana berjaya memanipulasi sentimen penonton dengan jalan cerita cinta dan runut bunyi mengasyikkan.

"Kita sepatutnya 'berani' bermain dengan sesuatu yang lebih serius, besar dan bermakna tanpa menafikan keupayaannya untuk dapat dihayati segala bangsa. Kita perlu ada produk filem bernuansa Islam yang benar-benar bercirikan kefahaman terhadap agama yang dapat diketengahkan kepada masyarakat dan jangan hanya ikut rentak penonton. Sesekali ubah supaya mereka pula menarik mengikut rentak kita," katanya.

30 dibaca
Berita Harian X