Ahad, 31 Mei 2015 | 12:05am

'Bebas guna lorong tentera, VIP masuk Malaysia'


BUKIT KAYU HITAM: Amalan lambai dan lepas dikesan berlaku secara berleluasa di pintu masuk negara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ).

Ini terutama membabitkan kenderaan bernombor pendaftaran Thailand, teksi dan kenderaan yang dipandu individu dikenali penguat kuasa.

Malah, tinjauan BH mendapati kenderaan pendaftaran Thailand itu juga dibenarkan memasuki laluan yang dikhaskan untuk tentera dan orang kenamaan (VIP) tanpa diperiksa.

Senario itu berlaku secara terang-terangan dengan ada antara kenderaan awam itu dilihat bebas melalui lorong khas untuk tentera dan kenderaan orang kenamaan meskipun ia milik pemandu Thailand dan tidak ada urusan rasmi.

Malah, untuk melepasi semua kawalan tanpa pemeriksaan juga bukan susah kerana hampir semua teksi di sempadan dan kenderaan bernombor pendaftaran Thailand tidak diperiksa secara teliti dengan ada antaranya lepas tanpa ditahan dengan hanya melambai tangan.

Wartawan BH sendiri cuba menguji amalan itu dengan membawa masuk bahan terlarang dari Dannok, yang diwartakan sebagai satu kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan beberapa barangan lain yang tidak boleh dibawa masuk kecuali oleh mereka yang bermalam melebihi 72 jam di Thailand.


PEMANDU teksi hanya melambai tangan sebelum melepasi pos kawalan UPP tanpa diperiksa di Bukit Kayu Hitam. - Foto Danial Saad

Seorang pemandu teksi menawarkan untuk membawa wartawan melalui CIQ dengan jaminan tidak ada apa perlu dirisaukan. Apa saja yang dibeli pasti tidak akan diperiksa dan lepas tanpa masalah.

"Jangan risau. Jika saya yang bawa, apa saja boleh lepas. Jarang sangat saya kena tahan. Kalau kena sekalipun, mereka (penguat kuasa) hanya buka but dan tengok sekali lalu saja. Plastik hitam, mereka tidak tengok. Benda itu letak saja di depan," katanya sambil menyuruh wartawan meletak satu plastik mengandungi barangan larangan di kaki penumpang.


BARANGAN larangan yang dibeli di Danok, Thailand tidak diperiksa di CIQ Bukit Kayu Hitam. - Foto Danial Saad

Bermula dari pintu sempadan Malaysia-Thailand hingga ke pos kawalan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), nyata tidak sekalipun kami diperiksa. Paling tidak, pemandu teksi hanya menurunkan cermin kereta, melambai dan memberitahu - "Malaysia, Malaysia."

Mungkin itu sekadar nasib, wartawan cuba sekali lagi melalui CIQ, kali ini dengan ditemani seorang pegawai risik yang juga bersetuju budaya lambai berlaku begitu ketara di sempadan.

Kali ini, sekali lagi wartawan melepasi semua kawalan tanpa diperiksa. Malah, di pos kawalan kastam, pegawai penguat kuasa langsung tidak bangun dari kerusi dan sekadar mengangkat tangan.


BARANGAN larangan dibungkus dalam plastik hitam di Danok, Thailand yang diletakkan dalam but teksi tidak diperiksa di CIQ Bukit Kayu Hitam. - Foto Danial Saad

Pada masa sama, beberapa kenderaan bernombor pendaftaran Thailand turut lalu di CIQ tanpa diperiksa. Malah, ada yang langsung tidak menurunkan cermin kereta.

"Kita tidak tahu apa yang mereka bawa. Mungkin ada beras, mercun atau senjata api. Entah-entah ada pendatang tanpa izin dalam bonet mereka. Itulah kelemahan di sini, siapa yang dikenali dilepaskan begitu saja," kata anggota risik itu.

Bagi menguatkan lagi bukti tinjauan, wartawan kali ini menaiki teksi dari sempadan melalui CIQ pada jam 11.30 malam dan sekali lagi lepas mudah tanpa diperiksa sedangkan sepatutnya pergerakan kami lebih mencurigakan, keluar pada waktu itu kerana kompleks bebas cukai sudah ditutup lebih dua jam sebelum itu.


ANTARA barangan larangan tertentu yang dibungkus dalam plastik hitam di Danok, Thailand. - Foto Danial Saad

Satu lagi senario yang mencurigakan berlaku di CIQ ialah kenapa begitu banyak kenderaan Thailand dibenarkan melalui laluan tentera sedangkan mereka bukan anggota penguat kuasa atau orang kenamaan. Kenderaan ini, apabila melalui laluan itu dapat lepas dari bayaran tol dan pemeriksaan juga tidak dilakukan terhadap mereka.

Sepanjang pemerhatian wartawan, sekurang-kurangnya sebuah kenderaan melalui laluan itu setiap 10 minit dan ada antaranya kenderaan Malaysia yang bukan milik tentera.

28 dibaca
Berita Harian X