Sabtu, 30 Mei 2015 | 7:29pm

Kerajaan berhasrat bina tembok, benteng di sempadan Malaysia-Thailand


TIMBALAN Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUCHING: Kerajaan berhasrat membina tembok dan benteng di sempadan Malaysia-Thailand di samping meningkatkan pengawasan di pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, pembinaan struktur itu mungkin jauh lebih berkesan dalam mengawasi sempadan, kerana hakikatnya pasukan keselamatan memang tidak mampu untuk memantau lebih 100 'jalan tikus' di kawasan sepanjang kira-kira 700 kilometer (km) sempadan negara yang memisahkan Malaysia dan Thailand.

Mengikut Wan Junaidi, beliau juga dijadualkan menemui Menteri Besar Perlis, Kedah dan Kelantan tidak lama lagi untuk memaklumkan arahan terbaru Kementerian Dalam Negeri kepada petugas keselamatan sempadan negara untuk meningkatkan lagi pengawasan.

Beliau berkata pemeriksaan di sempadan perlu diperkukuhkan supaya tiada lagi individu yang boleh keluar atau masuk sesuka hati dengan hanya "mengangkat tangan atau menganggukkan kepala saja".

"... dahulu memang dipinta oleh kerajaan negeri (pelbagai kelonggaran) dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan, sekarang saya nak berbincang dengan MB negeri terbabit untuk beritahu sendiri secara rasmi bahawa tiada lagi hanya 'angguk atau angkat tangan saja' untuk melintasi sempadan negara," katanya.

Wan Junaidi berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di Muara Tebas, kira-kira 30 km dari sini, hari ini.

Isu sempadan mula menjadi perhatian ramai berikutan penemuan kem haram dan kubur di Bukit Wang Burma di Wang Kelian, Perlis baru-baru ini yang dikatakan menempatkan pendatang asing yang menjadi mangsa jenayah pemerdagangan manusia. - BERNAMA

Berita Harian X