Sabtu, 30 Mei 2015 | 5:17pm
DATUK Amar Abang Johari Tun Openg menunjukkan harga rumah yang tertera di sepanduk pada pelancaran Projek Rumah Mesra Mampu Milik 1Malaysia Muara Tebas, hari ini. - Foto Mas Adib Saie

Sindiket punca harga hartanah melambung di Sarawak

SANTUBONG: Peningkatan mendadak harga hartanah di negeri ini, khususnya rumah kediaman dipercayai berpunca daripada kewujudan sindiket atau 'kartel' yang cuba mengaut keuntungan mudah.

Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, mendedahkan kewujudan sindiket terbabit disedari selepas pihaknya menjalankan kajian terperinci kenaikan luar biasa hartanah, khususnya di beberapa bandar utama di seluruh negeri, termasuk Kuching.

"Di Sarawak, berlaku kenaikan mendadak harga rumah dan premis perniagaan yang dirasakan tidak masuk akal, malah berlaku peningkatan antara 60 peratus hingga 70 peratus dari paras normal.

"Bayangkan, harga rumah teres mencecah RM400,000 seunit dan ini tentunya membebankan pembeli, terutama golongan pertengahan. Di Bintulu pula, harga sewa bilik mencecah RM800 sebulan. Ia tidak munasabah dan kita percaya situasi ini dirancang rapi sindiket tertentu," katanya ketika merasmikan Projek Rumah Mesra Mampu Milik 1Malaysia Muara Tebas, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB), Datuk Dr Latif Ahmad.

Berdasarkan modus operandi digunakan, Abang Johari menjelaskan sindiket akan bersaing sesama mereka membeli tanah di sesebuah kawasan yang berpotensi dibangunkan bagi tujuan perumahan atau pembinaan bangunan komersial sebelum menetapkan harga pasaran.

Justeru, bagi menangani situasi itu, kerajaan negeri terpaksa campur tangan bagi menstabilkan harga pasaran melalui lambakan penawaran rumah agar tidak membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), kita memohon untuk tambahan lebih 20,000 unit rumah bagi tujuan ini," katanya.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri akan melaksanakan undang-undang baharu bagi menangani kenaikan harga ini.

"Melalui undang-undang ini, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak akan mengambil alih dan membangunkan 30 peratus rumah kos rendah yang gagal dibangunkan oleh pemaju swasta. Levi untuk rumah ini pula akan dibayar oleh pemaju swasta yang gagal itu, tetapi ia akan dibangunkan di atas tanah milik HDC," katanya.

Berita Harian X