Sabtu, 30 Mei 2015 | 12:05am
MOHD AIZAT komited untuk menurunkan berat badan hasil dorongan keluarga. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd
MOHD Aizat Abdul Razak. - Foto Afendi Mohamed
MOHD Aizat menunjukkan seluar lamanya sebelum penurunan berat badan. - Foto Afendi Mohamed
KINI semakin aktif menyertai acara larian dan menjaga pemakanan. - Foto Afendi Mohamed

'Tali pinggang pun tak muat'


PERNAH dikategorikan sebagai obes dengan berat badan mencecah 220 kg. - Foto Afendi Mohamed

TIDAK aktif bersukan dan makan apa sahaja, itulah dua punca utama yang menyebabkan Mohd Aizat Abdul Razak, mengalami obesiti dengan berat mencecah 220 kilogram (kg). Gaya hidup yang diamalkan sejak sekolah menengah itu terbawa-bawa sehingga berbelas tahun lamanya.

Mohd Aizat yang berkhidmat sebagai Penolong Pengurus Perdagangan di sebuah syarikat swasta berkata, beliau sedar mengenai pertambahan berat badan yang dialaminya, namun memilih untuk tidak menghiraukannya.

"Saya tidak pernah timbang berat badan. Saya tidak mengalami masalah untuk mendapatkan pakaian yang bersaiz besar. Pergi saja ke mana-mana pasar raya besar, semuanya boleh didapati dengan mudah. Saya juga tidak pernah diejek kerana saiz tubuh badan saya. Mungkin kerana perwatakan saya yang ceria dan mudah bergaul, ia menyebabkan orang sekeliling saya tidak melihat saiz badan saya sebagai bahan untuk dijadikan lawak jenaka," katanya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai dirinya, jejaka berusia 31 tahun itu berkata, beliau amat gemarkan makanan yang manis seperti kek dan pencuci mulut.

"Selalunya, orang berbadan besar digambarkan sebagai mereka yang makan dengan banyak sehingga penuh pinggan dan menambah hidangan dua hingga tiga kali. Saya bukan begitu. Saiz hidangan saya sama dengan orang lain cuma apabila saya sudah mula makan, saya akan terus makan tanpa henti," ujarnya sambil tertawa.

Gaya hidup yang tidak sihat itu mula menimbulkan kerisauan kepada ibu jejaka berkenaan, Rodziah Suradi, ditambah pula dengan status Mohd Aizat yang masih bujang.

Rodziah yang turut menemani Mohd Aizat pada temu bual itu berkata, beliau bimbang tahap kesihatan anak keduanya itu akan mula merosot jika masalah obesiti itu tidak diatasi.

"Saya selalu berpesan kepada dia, bila sudah sakit nanti susah, tak ada orang nak jaga. Mungkin kata-kata saya itu membuatkan Mohd Aizat mula sedar pentingnya menjaga kesihatan," katanya.

Selain nasihat daripada ibu, Mohd Aizat sendiri secara perlahan-lahan mula menyedari kesukaran yang sering dialaminya kerana berbadan besar.

Antara yang paling ketara ialah beliau cepat penat dan sering menghadapi kesukaran untuk bergerak.

"Kalau mahu ke mana-mana, saya hanya boleh muat naik kereta saya sendiri saja. Selain itu, saya akan mencari tempat letak kereta yang paling dekat dengan pintu masuk kerana tidak perlu berjalan jauh. Saya juga mengalami kesukaran untuk menaiki kapal terbang dan bas kerana tempat duduknya yang sempit. Malah, saya perlu meminta tali pinggang tambahan kerana yang sedia ada tidak muat dengan saiz badan saya.

"Selain itu, saya juga terpaksa menebalkan muka untuk minta dipindahkan ke tempat duduk yang tiada penumpang lain kerana bimbang penumpang di sebelah tidak selesa dengan kehadiran saya," katanya.

Bertitik tolak daripada pelbagai kesukaran yang dialami, Mohd Aizat membuat keputusan untuk menyertai program kecergasan yang diasaskan selebriti kecergasan terkemuka, Kevin Zahri, pada Januari tahun lalu.

Program selama enam minggu itu menemukan beliau dengan jurulatih kecergasan, Mohd Aizzat Adnan, yang bertanggungjawab mengajarnya teknik untuk menurunkan berat badan dengan betul.

Mohd Aizzat yang juga seorang pensyarah berkata, Mohd Aizat adalah peserta paling berat yang beliau pernah jumpa dan beliau menganggapnya sebagai satu cabaran untuk dirinya selaku jurulatih.

"Perkara pertama yang saya lakukan terhadap Mohd Aizat adalah memberinya pengetahuan dan maklumat yang betul untuk menurunkan berat badan. Saya juga memberinya semangat dan menasihatinya supaya tidak terlalu memaksa diri. Kemampuan badan untuk menerima perubahan adalah berbeza-beza, jadi Mohd Aizat tidak boleh terus melakukan rutin senaman yang ekstrem," katanya.

Sepanjang program kecergasan itu berlangsung, antara cabaran hebat yang perlu Mohd Aizat hadapi termasuklah melakukan pelbagai rutin senaman yang sebelum ini begitu asing pada dirinya.

"Memang sukar untuk saya terus komited tetapi saya kuatkan diri kerana keluarga berterusan memberikan semangat dan sokongan padu. Saya juga begitu gembira apabila setiap minggu berat badan saya menunjukkan penurunan yang memberangsangkan. Selain mengamalkan diet pemakanan, saya turut bersenam enam kali seminggu tanpa gagal," katanya.

Bercerita lanjut, ketika berat badannya turun kepada 180 kg, beliau memberanikan diri untuk menyertai acara larian sejauh 10 kilometer di Putrajaya.

"Pada masa itu, saya sangka saya tidak akan berdepan dengan masalah. Saya juga tidak membuat persediaan yang rapi sebelum menyertai acara berkenaan. Akibatnya, saya pengsan semasa acara sedang berlangsung dan dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans. Badan saya mengalami dehidrasi dan saya diberikan rawatan yang sewajarnya," katanya.

Kini, sudah lebih setahun Mohd Aizat mengubah rutin hidupnya. Daripada seorang jejaka yang langsung tidak bersukan, beliau kini semakin aktif menyertai acara larian yang dianjurkan. Daripada berat 220 kg, beliau kehilangan berat sebanyak 88 kg dalam tempoh setahun menjadikan berat 132 kg setakat Januari lalu.

Beliau juga mengamalkan tabiat minum air masak sebanyak empat liter sehari selain mengelakkan makanan yang bergoreng dan berlemak.

"Perjalanan saya masih jauh, namun, saya berbangga dengan perubahan yang berlaku. Nasihat saya kepada mereka yang mahu menurunkan berat badan, tetapkan sasaran untuk sihat dan cergas, bukannya untuk kurus," katanya.

25 dibaca
Berita Harian X