Sabtu, 30 Mei 2015 | 12:04am
DIANA dikecam dan dituduh atas perkara yang tidak dilakukannya. - Foto Munira Abdul Ghani

Mengapa Diana Johor ambil ubat atasi kemurungan


MENGEJUTKAN dengan kisah buka tudung, baru-baru ini, Diana Johor mengakui dia juga mengalami masalah kemurungan kronik.

Pelakon yang juga penerbit drama dan filem itu berkata, dia mengalami kemurungan, tahun lalu gara-gara tekanan berkaitan kontroversi pembikinan filem Rentap, terbitan syarikat produksi miliknya bersama saudara kembar, Lina Johor, Unique Twins Sdn Bhd.

Menjelaskan dia kini semakin pulih, pemilik nama sebenar Nordiana Johor Zainal Abidin, 34, berkata kontroversi melanda apabila tiga individu daripada produksinya tampil membuat aduan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mengenai soal kewangan yang perlu dijelaskan.


SELEPAS kontroversi buka tudung, Diana akui turut mengalami masalah kemurungan kronik.

Filem epik itu tertangguh sejak tahun lalu susulan penyelewengan melebihi RM1 juta dilakukan oleh beberapa pihak dalam produksi itu menyebabkan Diana dan kembarnya hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada meneruskan penggambaran atau memulangkan semula dana yang dipinjam.

"Saya meletakkan harapan yang tinggi terhadap filem berkenaan, malangnya impian itu hancur berkecai. Saya diuji, termasuk yang membabitkan kes produksi sendiri dan campur tangan Karyawan. Saya dikecam dan dituduh atas perkara yang tidak dilakukan. Pihak produksi sendiri yang diberi kepercayaan pun seperti menikam saya dari belakang. Saya memang akui mengalami kemurungan gara-gara semua itu. Memang saya terkesan dan tertekan dengan hal itu.

"Saya ingat filem ini akan berjaya disiapkan. Bayangkan saya dan kembar melakukan penyelidikan untuk filem ini selama empat tahun. Kami berulang-alik ke Sarawak untuk memastikan kesempurnaan dalam setiap aspek. Saya bercita-cita besar yang filem ini mampu sampai tahap antarabangsa. Tapi malangnya semua hancur lebur. Saya kerugian duit yang disimpan bertahun-tahun sekelip mata. Habuk pun tak ada," katanya.


PELAKON Diana Johor. - Foto Munira Abdul Ghani

Kata Diana, kemurungan yang dialaminya kronik. Dia bukan sahaja berasa lemah semangat, malah hilang selera makan, tidak boleh tidur serta berkurung di rumah sahaja.

"Susah nak jelaskan bagaimana gambaran kemurungan itu. Pada satu tahap saya sudah tak ada selera makan, tak tahu apa nak buat, sudah tak ada misi dan tak keluar rumah langsung. Saya juga sudah tidak buat aktiviti sukan yang sering dilakukan pada masa terluang. Saya jadi malas nak fikir apa-apa. TV pun sampai tak nak tengok," katanya.

Mujur dia segera mendapatkan rawatan dan keadaan Diana hari ini semakin baik.

"Saya berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat, berkongsi pelbagai perkara dan mendapatkan ubat. Ubat ini perlu untuk mengalih tumpuan saya daripada berfikir macam-macam. Selama murung, otak saya tak berhenti memikir kenapa jadi begitu dan kenapa saya diperlakukan sedemikian rupa.


MENGALAMI kemurungan akibat tekanan berkaitan kontroversi pembikinan filem Rentap. - Foto Munira Abdul Ghani

"Alhamdulillah, saya semakin okay. Saya tutup buku fasal filem dan fokus kepada perniagaan hotel. Saya sibukkan diri untuk melupakan kisah hitam lalu. Semestinya saya berdoa kepada Tuhan untuk memberikan kekuatan meneruskan hidup," katanya.

Bagaimanapun, Diana menafikan tindakannya membuka tudung berpunca daripada masalah kesihatan yang dihadapi.

Sebagai manusia biasa, dia mengakui tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Saya tahu tindakan saya itu pasti mengundang kecaman. Saya tak kata buka tudung ini satu perkara yang baik. Tapi biarlah soal ini antara saya dengan Tuhan. Dulu mungkin saya bertudung tidak 100 peratus bersedia. Semuanya berlaku ketika saya bertugas di Hotel Pelangi, Muar, Johor. Hotel itu milik keluarga saya. Suatu hari saya tergesa-gesa dan terlupa memakai tudung. Bila sudah tak pakai hari itu, keesokannya pun saya tak pakai juga. Siapa tahu, mungkin esok atau lusa, saya bertudung semula," katanya.


LULUSAN bidang ekonomi dan kewangan daripada Universiti Curtin, Perth, Australia.


KARIER lakonan Diana bermula pada usia 14 tahun menerusi drama Mas Maria.

Mengalih bicara, Diana sebenarnya sudah hampir empat tahun bergelar janda. Saat ini, Diana memberitahu masih belum mempunyai kekasih hati.

"Kawan ramailah. Tapi belum ada yang steady. Saya pun sibuk dengan kerja hotel. Kalau kahwin, tanggungjawab besar. Saya selesa fokus pada kerja dahulu," katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang dilihat semakin seksi, Diana menjelaskan seksi itu terlalu subjektif.

"Saya tak rasa diri ini semakin seksi. Sejak belajar di Australia lagi, inilah gaya saya. Bagi saya, ia nampak kasual. Saya hanya menjadi diri sendiri seperti dua tiga tahun dahulu. Saya cuba melupakan apa yang terjadi tahun lalu," katanya.


DIANA nafi buka tudung berpunca daripada kemurungan dihadapinya. - Foto Munira Abdul Ghani

INFO

Diana Johor

  • Karier lakonannya bermula pada usia 14 tahun menerusi drama Mas Maria
  • Pernah berlakon dalam drama Sembilu dan Astana Idaman
  • Graduan bidang ekonomi dan kewangan dari Universiti Curtin, Perth, Australia
  • Pernah bernikah dengan anak orang kenamaan pada 7 Februari 2009, namun jodoh mereka tidak berpanjangan
  • Selain drama dan filem, Diana pernah ke pentas teater, antaranya teater Gamat musim kedua pada tahun 2010
  • Turut menjayakan teater muzikal Tun Mahathir pertama dan kedua di Istana Budaya
  • Antara drama terbitan syarikat produksinya adalah Hana Hani Coklat Strawberi, Keras, Puteri Kayangan, Melodi Cinta dan Sarikei

Kemurungan

  • Sejenis penyakit mental yang memudaratkan seseorang individu dalam jangka masa panjang dan menjejaskan orang sekeliling, termasuk insan tersayang jika tidak dirawat.
  • Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 350 juta orang daripada pelbagai peringkat umur menderita kemurungan di seluruh dunia menjadikan penyakit itu sebagai penyakit keempat paling utama yang menjejaskan kehidupan masyarakat.
191 dibaca
Berita Harian X