Jumaat, 12 September 2014 | 6:46pm

Balotelli taruhan Liverpool ledak gawang Villa


PENYERANG baharu Liverpool, Mario Balotelli. - Foto AFP

LONDON: Mario Balotelli sudah pulih daripada demam dan akan bersedia untuk turun ke gelanggang membantu Liverpool menentang Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), menurut pengurus pasukan, Brendan Rodgers.

Penyerang Itali itu yang diikat dengan harga 16 juta pound (RM80 juta) dari AC Milan, bulan lalu tidak menyertai latihan, semalam dan menambah gelisah pengendali pasukan itu yang sudah pun kehilangan penyerang prolifik, Daniel Sturridge dan Joe Allen.

"Mario kurang sihat dan kami tidak mahu ia merebak dalam pasukan," kata Rodgers kepada Liverpool Echo. "Dia akan OK Sabtu ini (esok)."

Ujian getir menunggu Liverpool dengan tujuh perlawanan dalam tempoh 21 hari bermula dengan kunjungan Villa.

Kemudian The Reds bakal menentang kelab Bulgaria, Ludogorets Razgrad dalam saingan Liga Juara-Juara pada 16 September sebelum bertemu West Ham United dalam perlawanan liga di gelanggang lawan Sabtu depan. Selepas itu perlawanan tetangga menentang Everton menunggu mereka.

Liverpool mendapat satu kesempatan besar memburu gelaran liga, musim lalu tanpa bola sepak Eropah tetapi Rodgers percaya skuad kali ini ada kekuatan tambahan untuk berdepan cabaran besar selepas ini.

"Kami ada opsyen sekarang," kata Rodgers yang berbelanja lebih 100 juta pound (RM500 juta) dengan membeli Adam Lallana, Dejan Lovren dan Rickie Lambert, Emre Can dan Alberto Moreno," katanya. - Reuters

Berita Harian X