Jumaat, 29 Mei 2015 | 11:00am

40 pemberontak Yaman maut di Aden


Seorang pemberontak anti-Houthi mengawal di bandar pelabuhan selatan Yaman Aden. - Foto REUTERS

ADEN: Serangan udara pakatan negara Arab ke atas pemberontak Houthi di Aden dan pertempuran di darat semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 40 anggota militan itu terbunuh, menurut timbalan gabenor bandar itu.

Penduduk Aden melaporkan serangan udara tanpa henti ke atas pemberontak dan pasukan tentera yang setia dengan bekas presiden di seluruh bandar itu.

Serangan udara yang diketuai Arab Saudi ke atas pasukan tentera yang setia kepada bekas Presiden, Ali Abdullah Saleh bermula pada 26 Mac dalam usaha mengembalikan kuasa Presiden Abedrabbo Mansour Hadi yang mendapat sokongan PBB.

"Tentera pakatan melancarkan serangan ke atas pemberontak di Aden...," menurut Timbalan Gabenor, Naef al-Bakri.

Bakri tidak memberikan butiran operasi itu tetapi berkata pesawat perang memusnahkan beberapa kenderaan pemberontak dan pos kawalan di utara dan timur laut Aden.

"Sekurang-kurangnya 40 pemberontak terbunuh manakala berpuluh lagi cedera," katanya. - AFP

11 dibaca
Berita Harian X