Jumaat, 29 Mei 2015 | 12:06am
MAYA bersama penari-penari FESTARI 2015.
LAGU Matahari begitu sinonim dengan Maya.

Maya Matahari pendam rasa


KUALA LUMPUR: Melihat kepada raut wajah dan tubuhnya yang kurus, tidak sukar untuk menelah bahawa penyanyi dan pelakon, Maya atau nama penuh Meyanaliza Ruslee, 39, sedang dirundung kesedihan. Namun, Maya yang cukup popular pada era 90-an menerusi lagu Matahari, masih belum bersedia meluahkan apa yang terpendam di lubuk hatinya.

Pernah kedengaran dirinya umpama digantung tak bertali, tapi selama itu juga wanita kelahiran Johor Bahru ini bijak menyimpan rahsia perkahwinan yang dibina bersama Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz sejak 26 Jun 2009. Hingga kini perkahwinan mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Apabila diusik adakah dia kurus dek makan hati, pantas Maya menyatakan dia mula pasang badan sejak beberapa bulan lalu kerana ada agenda seni yang akan diumumkan tak lama lagi. Sebagai selebriti, katanya, imej dan penjagaan diri itu sentiasa diutamakan sekalipun sudah berstatus isteri orang.

"Namun, sebagai perempuan, tipu dan hipokritlah jika saya tidak kata diri ini dirundung kesedihan. Hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang berlaku. Tapi hidup tetap perlu diteruskan. Saya kena kekal positif. Apa yang lebih penting sekarang ini untuk saya terus memberi perhatian khusus kepada kerjaya. Mengenai status saya ini, nantilah. Bila tiba masanya akan saya perjelaskan.


MAYA dan suami, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz.

"Ia agak peribadi dan membabitkan keluarga. Hal ini bukan soal saya semata-mata. Lagipun ibu saya tengah sakit. Jadi saya tak boleh terlalu terbuka membicarakan hal peribadi ini. Bimbang juga akan menjejaskan kesihatan ibu. Saya ambil pendekatan berdiam diri sementara waktu. Suatu hari nanti, pasti akan terlerai juga kemusykilan," kata Maya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun Maya tidak mahu terus hanyut dibuai perasaan sedih yang sesekali datang bertandang itu. Dia kini mengakui rezeki kian bertambah. Biarpun berlambak bakat baharu yang hadir, Maya masih meneruskan survival seninya seperti biasa dengan cara tersendiri.

"Saya masih ada dalam industri seni. Mungkin saya jarang muncul di kaca TV atau di dada akhbar mahupun majalah. Tapi saya sentiasa muncul di khalayak ramai. Malah saya kini kerap berkongsi apa sahaja aktiviti di laman bergambar Instagram dan Facebook seperti kebanyakan artis. Saya baharu saja selesai membuat persembahan nyanyian dan terbabit dengan pementasan teater di Johor.

"Hingga kini, masih ada tawaran menyanyi secara tertutup yang saya terima. Saya juga tengah bersiap sedia untuk keluar dengan single terbaharu selepas raya. Judulnya masih dalam fikiran. Tapi apa yang mula terlintas dalam kotak minda saya ialah judul Setia. Ia berkonsepkan balada dan ciptaan komposer Manusia Putih. Memang nak tukar konsep seiring dengan kematangan.

"Saya juga kini sudah meterai perjanjian dengan penyanyi Saida Tarudin sebagai rakan kongsi perniagaan. Buat permulaan Saida akan keluar dahulu dengan produk selendang (shawl) dengan menggunakan namanya sebagai jenama. Produk saya pula akan muncul selepas itu. Jenis produk apa dan bila ia akan dilancarkan, kenalah tunggu," katanya.

Tahun ini genap 20 tahun usia pembabitan seni Maya. Bahkan hingga saat ini, perkataan Matahari itu terus sinonim dengan dirinya. Maya tidak melihat ia sebagai satu masalah besar tapi percaya nama itu menjadi simbolik memori kerjaya seninya bermula. Nama Matahari benar-benar terus melekat dan terpahat dalam dirinya.

"Ia umpama nama platform saya sejak dari album pertama. Lagu itu mendapat sambutan hangat dan sering diputarkan di radio. Saya masih ingat lagi tarikh album pertama memuatkan lagu itu dilancarkan iaitu pada 25 Mac 1995. Siapa Maya orang selalu akan ingat Matahari," katanya.


MAYA belum sedia meluahkan apa yang terpendam di lubuk hatinya.

Maya juga terus bersemangat mengekalkan gaya hidup sihat seperti Atilia, Sharifah Sakinah, Shiha Zikir dan Sazzy Falak. Baginya, peningkatan usia bukan alasan untuknya tidak menjaga kesihatan dan penampilan diri. Ikutkan sejak di bangku sekolah lagi, Maya sebenarnya aktif bersukan.

"Saya memang jenis yang bersukan. Saya suka aktiviti lasak dan memastikan diri sentiasa aktif. Ibaratnya memang sukan kehidupan saya. Sebelum ini apabila berat badan naik, jadi saya tidak boleh teragak-agak menanam iltizam diri untuk melakukan pembaharuan. Macam saya cakap tadi, single baharu pun nak keluar. Lalu saya perlu mempersiapkan diri.

"Perubahan ini saya lakukan atas diri sendiri. Ia bukan sekadar berubah kerana nak cantik tapi untuk kesihatan juga. Almaklumlah umur pun sudah nak cecah empat siri. Jadi nak tak nak, saya kena berjaga-jaga. Pada masa yang sama, saya terikat sebagai testimoni pengguna untuk produk makanan tambahan penjagaan kulit dan jus kurus. Saya kena buktikan semua itu dan bukan sekadar mempromosikan semata-mata.

"Boleh katakan setiap hari, senaman itu takkan berenggang dengan saya. Selalunya saya hanya memuat naik aktiviti bersenam dua kali seminggu sahaja di laman Instagram bersama jurulatih kecergasan. Hakikatnya saya juga bersenam sendiri di pusat gim tanpa pemantauan jurulatih kecergasan. Saya memang sudah 'ketagih' bersenam," katanya.


MAYA akan terbabit sebagai penari untuk segmen persembahan pada malam akhir FESTARI 2015.

Dalam perkembangan lain, 6 Jun ini Maya akan terbabit sebagai penari untuk segmen persembahan malam akhir Festival Tari Malaysia (FESTARI) 2015. Acara itu akan berlangsung dari 4 hingga 6 Jun depan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut. Selain Maya, Vanidah Imran, Shiha Zikir, Zahnita Wilson dan Adeline Tsen pun turut serta membuat persembahan menari.

"Saya bukanlah penari profesional tapi cukup tertarik untuk menyertai persembahan FESTARI ini. Dari sekolah lagi sebenarnya saya minat menari tapi peluang tak ada. Malah saya lebih terdedah kepada dunia sukan yang lebih aktif. Jadi memang banyak tertumpu kepada dunia bersukan. Menari sikit-sikit adalah masa terbabit dengan teater dan kemudian menyanyi.

"Dahulu buat persembahan pasti ada penyanyi iringan dan perlulah belajar langkah tarian yang asas selain menggoyangkan badan. Tapi beza kalau menari semata-mata untuk FESTARI nanti berbanding menari semasa berteater dan menyanyi kerana pada akhirnya tumpuan ketika itu masih pada lakonan dan nyanyian," katanya.

Festival Tari Malaysia 2015 kali ini secara keseluruhan membabitkan lapan penyertaan yang terbaik dari seluruh Malaysia selepas menjalani sesi pemilihan melalui Manifestasi Tari di peringkat zon sepanjang bulan April lalu dan telah dipilih oleh panel juri yang dilantik. Setiap kumpulan yang bertanding dikehendaki menyediakan dua koreografi bagi menjalani peringkat separuh akhir dan akan mempersembahkan koreografi yang kedua setelah berjaya ke peringkat akhir

Lapan kumpulan peserta yang berentap ialah Rentak, Selangor, Kumpulan Kesenian Pewaris, Terengganu, Nyala Dance Theatre, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Le'Waris UMK, Kelantan, Sanggar Budaya Miri, Sarawak, Badan Kesenian Tentera Laut, Perak, Kumpulan Tari Aliff, Johor dan Petra Tari SMIP, Kelantan. Masuk adalah percuma dan tiada bayaran tiket dikenakan.

Johan bagi setiap kategori akan menang RM10,000. Naib Juara pula bakal membawa pulang RM8,000 dan Kumpulan Harapan RM5,000. Turut diwujudkan kategori Koreografer Terbaik (RM3,000), Busana Terbaik (RM3,000) dan Saguhati (RM2,000). Setiap kategori akan menerima trofi dan sijil.


MAYA pada sidang media FESTARI 2015.

Info

  • NAMA PENUH: Mayanaliza Ruslee
  • PANGGILAN GLAMOR: Maya Matahari
  • TARIKH LAHIR: 13 Mei 1976
  • TEMPAT LAHIR: Johor Bahru, Johor
  • Aktif berteater selain pernah membintangi drama TV
Berita Harian X