Khamis, 28 Mei 2015 | 3:06pm

Sebaran maklumat palsu di laman sosial boleh runtuhkan rantaian industri halal


KETUA Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Zulkifly Md Said (dua dari kiri) dan Amri Abdullah (kiri) melihat kandungan buku Muslim Friendly Malaysia sempena Seminar Industri Halal-Edisi Utara, di sini, hari ini. - Foto Anis Nabilla Md Wazilah

GEORGETOWN: Penyebaran maklumat secara viral di laman sosial berhubung isu halal yang belum disahkan kesahihannya boleh meruntuhkan keseluruhan rantaian industri halal.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Amri Abdullah, berkata sikap tidak bertanggungjawab itu memberi impak besar kepada industri halal yang mengambil masa lebih 10 tahun untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Masyarakat diharap supaya tidak mempercayai maklumat palsu di laman sosial dan isu halal dan haram ini seharusnya dirujuk kepada JAKIM," katanya kepada pemberita pada 'Seminar Industri Halal Edisi Utara: Perspektif Kepada Sektor Pelancongan Islam', di sini, hari ini.

Amri berkata, sikap masyarakat yang mudah percaya dengan maklumat di laman sosial bukan sahaja menjatuhkan industri halal tetapi juga akan menjejaskan imej negara yang berstatus hab halal dan menjadi penanda aras kepada produk halal di dunia.

Beliau berkata, konsep halal dan halalan toyyiban (kebersihan) memberi nilai pasaran kepada syarikat dan JAKIM bukan sahaja mengeluarkan sijil halal tetapi menyumbang kepada ekonomi negara, apabila eksport produk halal mencapai RM37 bilion pada 2013.

- BERNAMA

19 dibaca
Berita Harian X