Khamis, 28 Mei 2015 | 12:28am

Federer, Sharapova mara, Halep tersingkir


DARI kiri, Federer , Sharapova dan Halep di tenis Terbuka Perancis. - Foto EPA

PARIS: Roger Federer layak ke pusingan ketiga tenis Terbuka Perancis dengan menewaskan

Marcel Granollers dari Sepanyol 6-2, 7-6 (7/1), 6-3 di gelanggang yang dibanjiri penonton di Court Suzanne Lenglen.

Turut mara ke pusingan sama adalah Maria Sharapova tapi seorang lagi pemain pilihan wanita, Simona Halep tersingkir.

Sharapova, pilihan kedua, menewaskan rakan senegara dari Russia, Vitalia Diatchenko 6-3, 6-1 untuk berdepan bekas finalis, Samantha Stosur dari Australia dalam pusingan ketiga.

Stosur, naib juara 2010 yang menjadi pilihan ke-26 tahun ini mudah mengatasi pemain Perancis, Amandine Hesse 6-0, 6-1.

Namun, kejutan terbesar adalah Halep yang kecundang secara mengejut kepada pemain veteran dari Croatia, Mirjana Lucic-Baroni, 7-5, 6-1.

Lucic-Baroni yang kali terakhir mara ke pusingan ketiga di Paris selaku pemain belasan tahun pada 2001 kini berdepan pemain pilihan ke-29 Perancis, Alize Cornet yang terdahulu menewaskan pemain Romania, Alexandra Dulgheru 6-2, 7-5.

Dalam perlawanan lain, Stan Wawrinka juga ceria menewaskan pemain Serbia, Dusan Lajovic 6-3, 6-4, 5-7, 6-3 dan bakal berdepan Steve Johnson dari Amerika Syarikat. - AFP

Berita Harian X