Rabu, 27 Mei 2015 | 8:11am

Henti fatwa bercanggah demokrasi

FATWA adalah satu sumber hukum perundangan Islam. Di Malaysia, secara amalannya fatwa dibuat oleh mereka yang dilantik khusus berkaitan kefatwaan sama ada sebagai mufti atau jawatankuasa fatwa.

Dalam proses membuat fatwa, pakar dalam bidang berkaitan diberi ruang untuk membantu mufti dan jawatankuasa fatwa membuat keputusan mengenai hukum syarak. Kebiasaannya mufti tidak mengeluarkan fatwa secara bersendiri.

Apabila sesuatu fatwa dikeluarkan dan jika diwartakan ia akan menjadi undang-undang yang wajib dipatuhi. Dalam keadaan ini ada pihak berhujah bahawa proses kefatwaan tidak menepati kehendak demokrasi, yang semua peraturan dan undang-undang hendaklah diluluskan menerusi proses dalam Dewan Perundangan. Jika prosedur perundangan tidak ditepati maka ia tidak menepati demokrasi.

Bagi menjelaskan mengenai kedudukan fatwa dalam sistem demokrasi, fatwa di negara kita ini sepenuhnya berkaitan soal hukum syarak, ia bukan undang-undang dalam konteks faham undang-undang mengenai maslahah awam yang diluluskan oleh Parlimen. Hukum syarak tidak perlu dibahas melalui proses demokrasi. Keputusan hukum syarak hanya boleh dibuat oleh mereka yang pakar dalam soal hukum syarak selepas mendapatkan maklumat atau pengetahuan daripada mereka yang pakar dalam hal berkaitan permasalahan yang memerlukan pernyataan kedudukannya di sisi hukum syarak.

Kesungguhan pihak berwibawa

Fatwa adalah hasil kesungguhan pihak berwibawa mengenai hukum syarak mengenai hukum syarak; bukan undang-undang untuk kemaslahatan yang lain. Konsep kebebasan bersuara dalam membuat sesuatu fatwa hendaklah terhad kepada kalangan mujtahid berkelayakan sahaja.

Kebebasan bersuara dalam urusan hukum syarak tidak seharusnya dibuat terbuka untuk perbahasan awam atau perbahasan Parlimen. Tetapi ini bukan bermaksud mengetepikan mereka yang berkepakaran dalam bidang berkaitan masalah yang memerlukan fatwa.

Dalam kes Sulaiman bin Takrib v kerajaan Terengganu (Kerajaan Malaysia-pencelah) (dan 2 Rayuan lain-lain), satu daripada pempetisyen didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Enakmen 2001 kerana bertindak menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang disiarkan dalam warta mengenai ajaran sesat. Pempetisyen memohon deklarasi bahawa Seksyen 51 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) Enakmen 2001 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Enakmen 2001 adalah batal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan memutuskan kuasa Jawatankuasa Fatwa tidak boleh disamakan dengan kuasa Dewan Undangan Negeri dalam membuat undang-undang berkaitan kesalahan. Jawatankuasa fatwa boleh membuat fatwa dalam semua perkara berkaitan agama Islam dan kesan mengikat fatwa bukan dibuat Jawatankuasa Fatwa itu. Kesan fatwa yang mengikat itu diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.

Walaupun begitu, dalam keadaan semasa, perkara yang perlu dipulihkan dalam institusi fatwa ialah reputasi dan kebolehan serta kredibiliti institusi ini. Amalan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengambil kira pendapat mereka yang berkepakaran dalam permasalahan berkaitan boleh diikuti oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri. Dengan cara ini, apabila fatwa dikeluarkan, ia boleh diterima oleh masyarakat.

Ambil kira keadaan semasa

Fatwa itu mengambil kira keadaan semasa bagi kesesuaian hukum syarak dengan keadaan semasa dan tempat. Pendekatan ini boleh diamalkan sebelum mengeluarkan fatwa yang boleh menjejaskan kebebasan asasi, sebagai contoh. Mengenai fatwa dan demokrasi, amalan mufti negeri mengeluarkan fatwa yang mengikat (selepas diwartakan) adalah berperlembagaan.

Pejabat mufti mempunyai kuasa untuk mengeluarkan fatwa yang mengikat sudah wujud sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal. Malah, pejabat mufti wujud di beberapa negeri sebelum campur tangan British atau ketika pentadbiran British. Apabila mencapai kemerdekaan, kerangka ini dikekalkan. Bahkan tiada pernyataan dalam proses gubalan Perlembagaan yang mempersoalkan kedudukan fatwa dalam sistem demokrasi yang baru diperkenal itu.

Proses membuat fatwa itu diluluskan melalui proses perundangan. Maksudnya, Dewan Undangan Negeri sudah meluluskan undang-undang pentadbiran yang memberi kuasa kepada Jawatankuasa Fatwa dan pada masa sama menggariskan tatacara proses fatwa. Pejabat mufti dan fatwa lahir dengan sokongan undang-undang, bukan semata-mata amalan pentadbiran Islam di negara ini. Maka, pernyataan mengenai pemfatwaan bercanggah dengan demokrasi tidak perlu ditimbulkan.

Penulis ialah Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X