Selasa, 26 Mei 2015 | 6:36pm

Lebih 19,000 tiket perlawanan Pilihan Malaysia-Tottenham sudah dijual

PETALING JAYA: Lebih 19,000 tiket untuk perlawanan Piala AIA 2015 antara kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur dan Pilihan Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok sudah dijual setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ProEvents, Julian Kam berkata beliau berharap sebanyak 11,000 lagi tiket dapat dijual sebelum perlawanan tersebut bermula pada 8.45 malam.

"Saya berharap kami dapat mencapai jualan 30,000 tiket menjelang esok. Ia bakal menyajikan perlawanan yang menarik kepada peminat," katanya selepas sidang media bersama kelab Tottenham Hotspur di sebuah hotel, di sini hari ini.

Mengulas mengenai tindakan segelintir penyokong bola sepak tempatan untuk memboikot perlawanan itu kerana tidak memberi manfaat kepada skuad kebangsaan, beliau berkata itu hak peminat bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.

"Sudah tentu perlawanan itu bakal memberi manfaat kepada negara dan pasukan kebangsaan. Misalnya, AIA akan membawa ribuan kakitangannya dari China, Jepun, Hong Kong dan banyak negara lagi untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

"Pelancong ini bukan sahaja membelanjakan wang menyaksikan perlawanan, mereka juga membelanjakan wang untuk hotel, makanan dan pengangkutan yang amat baik kepada negara," katanya.

Ketua Pegawai Pemasaran AIA Bhd, Thomas Wong berkata AIA sebagai rakan jersi rasmi pasukan Tottenham Hotspur, sangat gembira kerana dapat membawa barisan terbaik pemain kelab berkenaan ke sini.

Tiket perlawanan itu boleh dibeli melalui laman web www.ticketpro.com.my, cawangan Ticketpro dan hotline +603-78807999 pada harga RM58 untuk tempat duduk biasa serta RM428 dan RM328 bagi tempat duduk terhad VIP.

Peminat juga boleh membeli tiket di stadium hingga 11 malam ini dan dari 11 pagi hingga separuh masa pertama perlawanan tersebut esok, manakala pintu stadium akan dibuka pada 4.30 petang hari ini untuk latihan, dan 6 petang untuk perlawanan esok. - BERNAMA

Berita Harian X