Selasa, 26 Mei 2015 | 5:38pm

Lima artis popular serikan final FESTARI 2015

zaidim@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Cetusan idea baharu membabitkan selebriti popular tempatan dalam penganjuran Festival Tari Malaysia (FESTARI) bagi edisi 2015 menjadi bukti kerajaan serius melebarkan pengaruh warisan budaya bangsa sekali gus menjadi industri penting sebagaimana cabang kesenian yang lain.

Bakal berlangsung pada 4 hingga 6 Jun 2015 ini, penganjuran acara ini turut mengundang lima selebriti wanita popular iaitu pelakon, penyanyi dan peragawati terkenal iaitu, Vanidah Imran, Adeline Tsen, Maya Matahari, Shiha Zikir (Mentor) dan Zahnita Wilson. Acara ini sekali lagi memilih Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Ditampilkan mereka (selebriti) pada acara kemuncak (6 Jun) kerana Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan percaya golongan artis mempunyai pengaruh tersendiri terhadap peminat dan masyarakat sekali gus dapat menarik lebih ramai pengikut festival yang sememangnya sudah memiliki kelompok penggemar setianya.

Namun, pembabitan mereka bukanlah sebagai pencabar sebaliknya penyeri segmen persembahan bagi menobatkan pemenang-pemenang FESTARI 2015.

Setiap selebriti yang terbabit akan membuat persembahan solo selama 1 minit secara bergilir-gilir sebelum bergandingan untuk persembahan berkumpulan, yang semestinya menjadikan ia acara penutup paling dinanti-nantikan sebagai daya tarikan di FESTARI kali ini.

FESTARI menjadi lanjutan kepada program yang dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan sejak tahun 1992.

Acara seni ini membawa objektif murni yakni menyediakan ruang dan kemudahan kepada penggiat seni tari untuk berkarya di mana koreografer mahupun penari menunjukkan kreativiti dengan mempamerkan kualiti tarian yang bermutu tinggi, mantap dan kreatif selaras dengan nilai-nilai keperibadian kebangsaan.

Melaluinya, penganjur percaya akan terpupuk rasa kecintaan warisan budaya bangsa. Semarak tarian yang diilhamkan turut meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab untuk memelihara dan memperkembang industri ini. FESTARI pada kali ini memberi penekanan pada genre tradisional dan pelaksanaannya sedikit berbeza jika dibanding dengan penganjuran tahun lalu selain dipecahkan kepada dua (2) kategori iaitu Kategori Tarian Tradisional Daerah dan Kategori Tarian Rampaian Tradisional.

Kategori Tarian Tradisional Daerah memberi penekanan pada tarian daerah negeri yang diwakili peserta, kecuali negeri yang tidak mempunyai tarian daerah dibenarkan untuk mempersembahkan salah satu tarian daerah yang terdapat di negara ini. Skop tarian tradisi adalah seperti tarian etnik Sabah dan Sarawak, tarian Dabus negeri Perak, Tarian Piring Negeri Sembilan dan sebagainya.

Untuk Peringkat Separuh Akhir dan Peringkat Akhir, durasi persembahan yang diperuntukkan sepanjang 4 hingga 5 minit. Manakala kategori Tarian Rampaian Tradisional pula lebih kepada skop tarian tradisi seperti Joget, Zapin, Inang dan Asli. Untuk peringkat separuh akhir kategori ini mestilah menghimpunkan persembahan gabungan yang tidak kurang daripada dua tarian sekitar 5 ke tujuh minit.

Bagi peringkat akhir, hanya satu tarian sahaja dipilih antara Joget, Zapin, Inang dan Asli untuk durasi persembahan 3 ke 5 minit. Pertandingan bagi Kategori Tarian Rampaian Tradisional akan diadakan pada Khamis, 4 Jun mulai jam 8.30 malam manakala Kategori Tarian Tradisional Daerah akan diadakan pada keesokannya mulai jam 8.30 malam.

Bagi Pertandingan Akhir iaitu pada 6 Jun, jam 8.30 malam di Auditorium Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, bakal menyaksikan pertembungan 8 buah kumpulan semuanya merangkumi empat (4) kumpulan bagi Kategori Tarian Rampaian Tradisional manakala 4 lagi mewakili Kategori Tarian Tradisional Daerah.

Festival Tari Malaysia 2015 kali ini secara keseluruhan membabitkan lapan penyertaan yang terbaik dari seluruh Malaysia selepas menjalani sesi pemilihan melalui Manifestasi Tari di peringkat zon sepanjang bulan April lalu dan telah dipilih oleh panel juri yang dilantik.

Setiap kumpulan yang bertanding dikehendaki menyediakan dua koreografi bagi menjalani peringkat separuh akhir dan akan mempersembahkan koreografi yang kedua setelah berjaya ke peringkat akhir.

Lapan kumpulan peserta yang berentap ialah Rentak, Selangor, Kumpulan Kesenian Pewaris, Terengganu, Nyala Dance Theatre, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Le'Waris UMK, Kelantan, Sanggar Budaya Miri, Sarawak, Badan Kesenian Tentera Laut, Perak, Kumpulan Tari Aliff, Johor dan Petra Tari SMIP, Kelantan.

Berita Harian X