Selasa, 26 Mei 2015 | 4:02pm
JURULATIH kebangsaan Malaysia XI Dollah Salleh bersama Indra Putra Mahayuddin dan Paulo Ranger pada sidang media di Hotel Saujana Subang. - Foto Goh Thean Howe

Indra Putra yakin 5 import mampu bantu Harimau

KUALA LUMPUR: Kali terakhir mengemudi pasukan kebangsaan menentang Manchester United pada 2009, penyerang veteran Indra Putra Mahayuddin percaya Malaysia XI mampu melakar kejutan ketika bertemu Tottenham Hotspur, esok.

Sedar dengan kemampuan lawan yang memiliki reputasi tinggi selaku antara pasukan terbaik di Liga Perdana Inggeris (EPL), Indra masih enggan mengaku kalah dan mengakui ada peluang seandainya semua pemain yang diturunkan nanti memberikan yang terbaik.

Malah kehadiran lima pemain import yang menggantikan beberapa tonggak kebangsaan turut memberi kelebihan.

"Bagi saya khidmat mereka amat bermakna kerana sedikit sebanyak dapat bantu pemain tempatan. Saya rasa ada kelebihan jika ada pemain-pemain import ini. Setiap tindakan yang mereka buat boleh bantu pasukan," kata Indra yang kini beraksi untuk pasukan FELDA United.

Pada 2009, Indra yang kini berusia 33 tahun beraksi bersama pasukan pilihan Malaysia bimbingan Datuk K Rajagobal menentang Man United namun kedua-dua perlawanan berakhir dengan kekalahan.

Ia menjadi perlawanan terakhir buat Indra menentang pasukan dari EPL sebelum kembali disenarai Dollah Salleh bagi pertemuan menentang Spurs.

"Ini adalah satu perlawanan yang besar dan persiapan terbaik buat semua pemain hadapi kelayakan Piala Dunia.

"Dari sudut persiapan mental dan fizikal kami sudah hadapi Spurs. InsyaAllah jika semua pemain sudah sedia untuk memberikan yang terbaik, akan ada kejutan nanti," katanya.

Untuk rekod, sepanjang pertemuan persahabatan dengan kelab EPL, Malaysia hanya menang sekali iaitu ketika bertemu Arsenal pada 1975.

SKUAD NEGARA: Khairul Fahmi Che Mat, Zamir Selamat, Robert Cornthwaite, Thiago Junio Aquino, Muslim Ahmad, Afif Amiruddin, Ronny Harun, Yong Kuong Yong, Zubir Azmi, Azmi Muslim, Nasir Basharuddin, Ashfaq Ali, Joseph Kalang Tie, Indra Putra Mahayuddin, Ahmad Syamim Yahya, Christie Jayaseelan, Paulo Rangel, Guilherme De Paula, Ahmad Hazwan Bakri, Norshahrul Idlan Talaha.

Berita Harian X