Jumaat, 12 September 2014 | 10:43am

Visa Token Service kaedah pembayaran menerusi iPhone terbaharu

Visa Inc, peneraju global dalam teknologi pembayaran elektronik, memperkenalkan perkhidmatan Visa Token Service yang membolehkan pengguna membuat pembayaran melalui peranti pintar terbaharu Apple iaitu iPhone 6, iPhone 6 Plus dan jam tangan pintar Apple Watch.

Menerusi Visa Token Service, institusi kewangan yang turut serta di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain dapat menambah kad debit dan kredit Visa secara maya ke Apple Pay, perkhidmatan pembayaran baharu Apple yang membolehkan pelanggan mereka membuat pembelian secara mudah dan selamat melalui kedai ataupun aplikasi mobile pedagang Amerika Syarikat terpilih.

Teknologi Visa Token Service berfungsi dengan menggantikan maklumat sensitif dalam akaun pembayaran yang terdapat dalam kad plastik, dengan mengunakan nombor akaun digital atau 'token' yang boleh disimpan dengan selamat dalam peranti mudah alih dan digunakan untuk membuat pembelian di kedai dan aplikasi mobile.

Visa akan melancarkan perkhidmatan itu kepada institusi kewangan secara berperingkat, bermula dengan peserta awal di pelancaran Apple Pay dan kemudian melebarkan perkhidmatan itu kepada semua pelanggan di Amerika Syarikat.

"Gabungan kepercayaan, skala dan keselamatan pembayaran Visa dengan Apple Pay akan mempercepatkan penerimaan dan penggunaan kemudahan pembayaran mudah alih," kata Ng Kong Boon, Pengurus Negara Visa Malaysia.

"Seperti yang dinyatakan, token perkhidmatan ini akan memberi pengalaman baharu yang berguna kepada pengguna dan peniaga, seperti yang dilihat hari ini dalam usaha kita dengan Apple, dan banyak lagi pada masa yang akan datang," tambahnya.

Apple Pay membolehkan anda membuat pembelian di beberapa kedai yang kerap dilawati dan aplikasi mobile di App Store dengan hanya sentuhan jari, melalui iPhone 6, iPhone 6 Plus dan Apple Watch. Pemegang akaun Visa akan terus menerima semua ganjaran, faedah dan keselamatan yang ditawarkan oleh kad kredit dan debit Visa.

"Penggabungan pengalaman digital baharu dari Apple dengan keupayaan rangkaian baru dari Visa akan memberi pengalaman pembayaran yang berguna dan tahap keselamatan yang dipertingkatkan kepada berjuta-juta pemegang akaun Visa, peniaga dan institusi kewangan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Dua platform pembayaran milik Visa, CyberSource dan Authorize.Net, telah disepadukan dengan Apple Pay yang memberi peniaga dalam talian penyelesaian pengurusan pembayaran dan memudahkan mereka untuk menerima bayaran secara selamat daripada aplikasi iPhone 6, iPhone 6 Apple Plus dan Apple Watch.

Visa adalah syarikat teknologi pembayaran global yang menghubungkan pengguna, perniagaan, institusi kewangan, dan kerajaan di lebih daripada 200 negara dan wilayah menerusi kaedah pembayaran elektronik yang cepat, selamat dan tepat.

Syarikat itu mengendalikan antara rangkaian pemprosesan yang paling maju di dunia, VisaNet yang mampu mengendalikan lebih daripada 56,000 mesej urus niaga setiap saat, dengan perlindungan penipuan untuk pengguna dan pembayaran terjamin untuk peniaga. Visa bukanlah bank dan tidak mengeluarkan kad, memberi pinjaman atau menetapkan kadar dan bayaran untuk pengguna. Inovasi Visa, bagaimanapun, membolehkan pelanggan institusi kewangannya untuk menawarkan pengguna lebih banyak pilihan, membayar segera dengan debit, membayar dahulu dengan prabayar atau membayar kemudian dengan produk kredit.

Berita Harian X