Isnin, 25 Mei 2015 | 12:06am
LINDA Jasmine. - Foto Nik Hariff Hassan
LINDA ketika menghadiri pertunjukan fesyen dan barangan kemas di Elegan Club, Jalan Maarof, Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan
TENGKU Cleopatra.
TENGKU Ratu Haidar.
MOHAMMAD Qalif Khan dan Que Haidar.

Linda Jasmine mula takut anak makin gedik


KUALA LUMPUR: Suara nyaring Linda Jasmine Hashim menyebut angka 5, 6, 7, 8! setiap kali berlangsungnya sesi kelas tarian di Akademi Fantasia beberapa tahun lalu masih di ingatan.

Jeritan manjanya itu seakan sinonim setiap kali bertemu dengan isteri tercinta Que Haidar ini. Malah, saat ini, Linda masih meneruskan rutin harian di lantai tarian yang dimulakan sejak usianya di awal 20-an.

Di sebalik komitmen profesionalnya sebagai penari dan guru tari, Linda tak pernah melupakan tugas hakiki serta keutamaannya sebagai ibu kepada tiga anak dan isteri.

Rutin hairannya di rumah tetap digalas sebaik mungkin. Sesekali Linda kelihatan di kaca TV jika diundang sebagai juri pertandingan membabitkan program tarian atau tampil bergaya sebagai sosialit di acara hiburan dan pertunjukan fesyen di ibu kota.


LINDA bergelar ibu kepada tiga anak. - Foto Nik Hariff Hassan

Sebagai ibu kepada Mohammad Qalif Khan, 15 tahun menerusi perkahwinan terdahulu dan Tengku Ratu Haidar, 5 serta Tengku Cleopatra, 3, Linda mengakui cabaran serta peranan ibu itu tidak semudah dilihat apatah lagi berdepan peredaran teknologi dan modenisasi semasa yang saban hari kian menggerunkan.

"Que sudah mula rasa bimbang terutamanya dengan Tengku Ratu yang semakin gedik. Gediknya bukan kepalang. Dia sudah mula cakap mengenai perihal kekasih dan nak kahwin. Setiap hari boleh dikatakan dia ada cakap hal nak kahwin. Siap lukis gambar dengan lelaki lagi. Saya naik takut. Tapi di usianya itu, saya harap dia tak terlalu larut dalam hal sebegitu," katanya.

Kebimbangannya juga tertumpu kepada anak sulung, Mohammad Qalif. Pada usia remaja, Qalif juga tidak terkecuali dengan pelbagai medium laman sosial seperti Instagram.

"Qalif turut memiliki akaunnya sendiri. Jadi dalam hal ini memang susah nak kawal. Ia sangat subjektif. Kita nak pantau 24 jam sehari pun apa yang mereka layari atau lakukan dengan kemudahan teknologi itu sesuatu yang mustahil.

"Saya tak boleh kawal apa yang dia akses di komputer peribadi dan telefon bimbit. Memang kelengkapan itu tak dia tak boleh berenggang hingga lewat malam. Kalau depan mata di rumah, dapatlah saya memberi peringatan untuk dia hentikan penggunaannya. Atau paling senang saya ambil sahaja benda itu buat sementara waktu. Sekarang dia sudah belajar di asrama penuh di Seremban sejak setahun.

"Dalam sebulan itu adalah dia pulang ke rumah dalam sekali dua. Sebagai ibu, saya tidak mahu dia terlalu leka dengan teknologi ini. Tapi faham-fahamlah anak zaman sekarang, cakap sedikit atau membebel mula tarik muka.

"Jadi saya ambil pendekatan dalam hubungan kena sentiasa terbuka. Biar mereka selesa dan anggap kita macam kawan. Jadi senang komunikasi itu terjadi," katanya kepada BH Plus dalam pertemuan dengannya di Elegance Club Bangsar di acara pertunjukan fesyen koleksi lebaran dan pasang siap Ridzuan Bohari.

Linda menegaskan untuk mengawal senario kepesatan teknologi itu 100 peratus amat sukar. Sebagai ibu pastinya terbit kebimbangan dek hal berkenaan.


LINDA dan suami, Que sentiasa cuba memberikan contoh yang terbaik kepada anak mereka. - Foto Nik Hariff Hassan

"Baik saya dan Que, kami cuba mendidik anak dengan memberikan contoh yang terbaik. Selagi kita boleh kawal, kita lakukannya. Sebagai ibu saat ini saya sendiri bimbang mengenai masa depan anak terutamanya Qalif yang kian dewasa.

"Pelbagai persoalan timbul antaranya seperti universiti mana yang bakal dia lanjutkan pelajaran dan bila besar nanti nak jadi apa," katanya.

Tambah Linda lagi, sebagai ibu bapa, mereka perlu bertegas dalam mengajar hal mana yang betul dan mana yang salah.

"Apabila tiba masanya kita kena bijak menangani masalah berbangkit membabitkan anak. Jangan terlalu menurut dan membantah. Saya sendiri tekankan kepada anak untuk menjadi anak yang bermoral yakni menjadi manusia yang baik. Itu antara asas hakiki hidup. Kita kena galak mereka memberikan contoh yang baik dari rumah.


LINDA tegas dalam mendidik anak. - Foto Nik Hariff Hassan

"Jangan menipu, mencuri, sentiasa jujur dan soal integriti (keutuhan semua segi yang baik) itu perlu ditekankan. Apabila kita memberikan yang positif, orang akan sentiasa mempercayai kita dan memandang tinggi. Sebagai ibu bapa jangan sekadar cakap, kita juga perlu memberikan perlambangan atas apa yang kita cakap. Cakap kena serupa bikin," katanya.

Saban hari, rutin harian Linda sebagai ibu seperti kebanyakan ibu di luar sana. Linda turut menjelaskan Ratu juga sudah mula menunjukkan jejak untuk menjadi penari sepertinya.

"Saya ambil dan hantar anak ke sekolah. Saya juga akan memeriksa kerja rumah anak selain itu turut menyiapkan pakaian harian mereka. Macam dua anak perempuan saya pun ada kelas gimnastik, berenang, kelas muzik jazz dan tarian balet. Jadual harian Tengku Ratu dan Tengku Cleopatra memang padat juga.

"Ratu memang pantang dengar muzik pasti akan menari. Dia paling minat tengok video muzik Michael Jackson. Memang dia pandai menari dan gelek sakan," katanya.

Bagi Linda, apa yang dilaluinya kini dilihat hampir sempurna. Diusik dengan pertanyaan apakah dia teringin untuk memiliki seorang anak lagi bersama Que, dia sangat realistik dan tidak terfikir untuk mengandung lagi.


LINDA belum bercadang menambah anak buat masa ini. - Foto Nik Hariff Hassan

"Tapi ikutkan emosi macam nak seorang lagi. Tapi fikir banyak kali tak kot. Cukuplah dengan apa yang ada. Saya ini kalau mengandung memang akan mengalami alah waktu pagi yang teruk. Saya sudah tiga kali menjalani pembedahan ketika melahirkan anak dan serik juga nak guna ubat penahan sakit. Kalau secara logik pun dengan ekonomi sekarang semua nak pakai duit.

"Belanja sekolah pun bukan murah lagi. Yuran sekolah itulah inilah. Jadi, selepas mempertimbangkan balik dengan Que, tak payahlah mengandung lagi," katanya.

Akhir perbualan tak sah ditanyakan Linda mengenai arjuna hatinya. Tanggal 14 Februari lalu genap enam tahun usia perkahwinannya dengan Que. Ketika itu, mereka sempat meraikan cinta yang terus mekar itu di kota Paris dan Amsterdam berdua.

"Dia seorang lelaki dan suami yang baik. Hati dia baik. Kami masing-masing percaya kepada asas hidup ini tak pernah sempurna. Kami juga tak sempurna dan saling melengkapi. Bukan lancar sepanjang masa perkahwinan ini, ada juga pincangnya. Tapi apabila saya tahu Que ini seorang yang baik dan sayangkan kita, ia terus mencambahkan rasa cinta dan memberi kelancaran dalam kehidupan.

"Masa berkualiti itu sentiasa ada dan dicari. Ada kelapangan kami bercuti. Masa bercuti di Eropah beberapa bulan lalu itu, ia memberi ruang untuk kami untuk lebih menghargai dan mendalami erti perkahwinan.

"Jadi lebih intim sebenarnya. Sekembali ke KL, saya nampak perubahan dirinya. Ia sangat positif dan dia nampak tenang serta lagi penyayang," katanya.

Info Linda Jasmine

* Pernah memiliki studio tarian Linda Jasmine Performing Arts Studio selama sembilan tahun. Bagaimanapun, menutup operasinya sejak beberapa tahun lalu.

* Pernah beberapa kali menjadi guru tari pertandingan realiti Akademi Fantasia

* Menjadi juri program Sehati Berdansa di Astro

* Berkahwin dengan Que Haidar pada 14 Februari 2009

182 dibaca
Berita Harian X