Ahad, 24 Mei 2015 | 1:17pm

Penyokong Kelantan maut kereta terbabit nahas di Gua Musang


KEADAAN kereta Perodua Viva yang remuk dan menyebabkan pemandunya, seorang guru tahfiz, Afif Asyraf Yahya, 28, maut, manakala seorang lagi saudaranya, Amiruddin Nawi, 29, menerima rawatan di Hospital Kuala Krai selepas bertembung dengan treler dalam kejadian di Kilometer 105, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Sungai Sam di Kuala Krai, pagi tadi. - Foto ihsan Polis

KOTA BHARU: Seorang penyokong pasukan The Red Warriors (TRW) Kelantan maut apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 105, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, di Kampung Lakloh, dekat sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Afif Asyraf Yahya, 28, seorang guru tahfiz dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menyaksikan perlawanan final Piala FA antara Kelantan dengan Lions XII di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi apabila mangsa yang memandu kereta Perodua Viva ditemani saudaranya, Amiruddin Nawi, tiba-tiba hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian.


SEBUAH Treler terjatuh dalam gaung selepas bertembung dengan Perodua Viva yang menyebabkan pemandunya, seorang guru tahfiz, Afif Asyraf Yahya, 28, maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi saudaranya, Amiruddin Nawi, 29, menerima rawatan di Hospital Kuala Krai dalam kejadian di Kilometer 105, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Sungai Sam di Kuala Krai, pagi tadi. - Foto ihsan Polis

Berikutan itu, kereta mangsa terbabas ke laluan kiri jalan sebelum berlanggar dengan sebuah lori muatan kelapa sawit yang datang dari arah bertentangan.

Sebaik berlanggar dengan lori berkenaan, kereta mangsa turut dilanggar sebuah MPV Perodua Alza dari arah belakang.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala Amiruddin yang parah dirawat di Hospital Kuala Krai.

Lori berkenaan yang dikatakan cuba mengelak kereta mangsa turut terhumban ke dalam gaung di sebelah kiri jalan dengan pemandunya berusia 38 tahun dilaporkan selamat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir mengesahkan kejadian itu.

Berita Harian X