Jumaat, 22 Mei 2015 | 12:13am
PENDATANG asing tanpa izin (PATI) Vietnam di Kem Tahanan Pendatang Asing, Pulau Bidong. - Foto Kamarulzaman Ariffin
ANTARA pendatang asing tanpa izin (PATI) Vietnam yang mencederakan diri sendiri kerana tidak mahu dihantar pulang. - Foto Kamarulzaman Ariffin
SUASANA di luar Kem Tahanan Pendatang Asing, Pulau Bidong. - Foto Kamarulzaman Ariffin
SAIDUN Othman (memandang kamera) sewaktu perbincangan di Kem Tahanan Pendatang Asing, Pulau Bidong. - Foto Kamarulzaman Ariffin
SAIDUN Othman (kiri), bersama rakan setugas di Kem Tahanan Pendatang Asing, Pulau Bidong. - Foto Kamarulzaman Ariffin
SAIDUN Othman (kiri), bersama rakan setugas ketika mengawal demonstrasi di Kem Tahanan Pendatang Asing, Pulau Bidong. - Foto Kamarulzaman Ariffin

Kisah Saidun berdepan demonstrasi berdarah Pulau Bidong


SELEPAS hampir 12 tahun Malaysia menempatkan pelarian Vietnam atau 'orang hanyut' di Pulau Bidong, Terengganu bermula tahun 1978, jasa baik kerajaan membenarkan mereka menumpang di situ dibalas dengan demonstrasi berdarah pada awal 1990-an.

Tunjuk perasaan itu bermula apabila tersebarnya berita mengatakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat keputusan untuk mengeluarkan mereka dari situ untuk dihantar ke negara ketiga.

Memang itu yang mereka impikan, tetapi mereka tidak mahu melalui proses saringan, syarat yang perlu dilalui untuk layak dihantar ke mana-mana negara. Akhirnya saki baki 16,000 pelarian yang berada di situ nekad untuk mengadakan tunjuk perasaan membantah keputusan mengadakan saringan.

PENGUASA Penjara, Saidun Othman (kiri), ketika bertugas mengawal pendatang asing tanpa izin (PATI) Vietnam di Kem Tahanan Pendatang Asing, Pulau Bidong. - Foto Kamarulzaman Ariffin

Penguasa Penjara, Saidun Othman, adalah antara pegawai dan anggota keselamatan, yang berdepan detik getir bersama lima rakan setugas Jabatan Penjara, 15 anggota polis serta dua anggota tentera. Pasukan khas di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri itu turut dibantu 30 Ikatan Relawan Malaysia (RELA), namun jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan 16,000 penghuni Pulau Bidong.

Ketika ini, Saidun yang dipanggil Kapten dalam kalangan penghuni pulau mengakui, keputusan PBB itu tidak dimaklumkan lebih awal kepada mereka menyebabkan pasukan khas itu tidak menyangka akan berlaku demonstrasi di depan bilik gerakan mereka.

"Ketika berita itu tersebar, mereka menyerbu pejabat pasukan kami. Mereka berkumpul, bermula dengan kumpulan kecil sehinggalah hampir semuanya berada di depan bilik gerakan kami. Kawasan kami dikerumuni hampir 16,000 penghuni. Mereka marah dan menunjuk perasaan membantah keputusan PBB kerana mahu membuat saringan memilih yang layak ke negara ketiga. Mereka beranggapan semuanya layak dan tidak mahu dihantar pulang.

"Kami bimbang jika demonstrasi itu bertukar menjadi tegang dan ganas. Maklumlah, mereka kecewa dan emosi itu boleh bertukar menjadi marah dan ganas. Kami mula berbincang dengan ketua mereka dan menjelaskan, itu kuasa dan keputusan PBB," katanya.

PENGUASA Penjara, Saidun Othman. - Foto Kamarulzaman Ariffin

Demonstrasi itu berlanjutan selama seminggu disusuli dengan mogok lapar. Mereka enggan menyentuh makanan yang disediakan petugas Palang Merah Antarabangsa. Pada masa sama, banyak poster protes mula dinaikkan dan ada antaranya yang bertulis 'hidup atau mati', 'Kami mahu keadilan,'; 'Bebaskan kami' dan 'Kami tidak mahu pulang'. Sepanjang tempoh itu juga, petugas keselamatan terus berdiplomasi memujuk mereka supaya bertenang.

"Pada hari pertama dan kedua, mereka kelihatan masih boleh mengawal emosi. Tetapi selepas beberapa kali berbincang dan tiada keputusan positif, mereka mula berubah sikap. Pemimpin mereka mula berucap di tempat perhimpunan dengan penuh semangat.

"Kemuncak tunjuk perasaan itu memang mengerikan kerana ramai yang mencederakan diri sendiri. Menikam badan dengan senjata tajam. Mereka mahu menunjukkan tanda protes kepada PBB. Walaupun mereka tidak menyerang kami, sebenarnya kamilah yang terpaksa berdepan dengan situasi itu kerana bertugas di bahagian keselamatan," katanya yang bertugas selama 11 bulan di sana sebelum dipindahkan ke kem sementara pelarian di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin (PATI) Vietnam membuat demonstrasi di Kem Tahanan Pendatang Asing, Pulau Bidong. - Foto Kamarulzaman Ariffin

Demonstrasi itu berakhir dengan aman selepas beberapa perundingan dan akhirnya, semua penghuni di Pulau Bidong dipindahkan ke kem Sungai Besi sementara menunggu proses menghantar mereka ke negara ketiga.

Pelarian Vietnam yang terkenal dengan sikap agresif akibat desakan hidup di negara mereka serta kesan perang antara Vietnam Utara (pro komunis) dan Vietnam Selatan (pro demokrasi) juga tidak terlepas daripada masalah jenayah dan disiplin walaupun dikawal ketat.

"Kami terpaksa menubuhkan unit keselamatan yang terdiri daripada pemimpin mereka sendiri. Ini bertujuan mengawal mereka supaya tidak bertindak ganas atau mengganggu ketenteraman penghuni lain. Kerap berlaku pergaduhan sesama sendiri dan biasanya ia membabitkan remaja. Jika ada yang melakukan kesalahan, mereka akan ditangkap dan dibicarakan. Jika bersalah, mereka akan dikurung di dalam bilik tahanan khas seperti 'monkey house'," katanya.

Pesalah akan dikurung di situ untuk tempoh tertentu antara dua hingga tiga minggu. Jika berkelakuan baik sepanjang tempoh itu, barulah mereka akan dibebaskan, tetapi ada juga yang terpaksa ditahan selama lebih sebulan.

PETA Kem Tahanan Pendatang Asing, Pulau Bidong. - Foto Kamarulzaman Ariffin

'Monkey house' adalah bilik tahanan kecil yang cuma boleh memuatkan beberapa individu pada satu-satu masa dan mereka tidak boleh berdiri. Ini bermakna, sepanjang tempoh tahanan itu, mereka cuma boleh duduk atau berbaring saja dan langsung tidak dibenarkan balik ke blok penempatan.

Jika berlaku kes jenayah serius, mereka akan terus dilaporkan kepada polis. Namun, bagi Saidun, perkara itu langsung tidak menjejaskan pelarian kerana mereka sudah lali dengan situasi sukar atau bergelut untuk terus hidup.

Ditanya mengenai masalah sosial yang berlaku di kem penempatan, katanya, penghuni diasingkan mengikut kategori keluarga, bujang, lelaki dan wanita, kanak-kanak serta ibu tunggal.

"Mereka ditempatkan di blok berbeza. Jika ada masalah sosial yang berlaku, perkara itu berlaku di luar kawalan kita. Memang ada bayi yang lahir di sini, tetapi semuanya mengaku ada bapa," katanya.

PENEMPATAN DI KEM PELARIAN SUNGAI BESI DIANDAIKAN DAPAT MENANGANI MASALAH PELARIAN VIETNAM. NAMUN, SANGKAAN MELESET. IKUTI SIRI SELANJUTNYA 'SEJARAH PULAU BIDONG BERULANG', PEMBERONTAKAN, JENAYAH DAN KEKUASAAN PELARIAN DI KEM PELARIAN SUNGAI BESI.

Berita Harian X