Khamis, 21 Mei 2015 | 11:20pm
Raheem Sterling.

Sterling pindah biarpun ditawar gaji RM5 juta seminggu

LONDON: Raheem Sterling kini turut menjadi buruan Manchester United ketika penyerang sensasi itu seperti sudah hampir pasti mahu meninggalkan Liverpool untuk menyertai kelab yang beraksi dalam Liga Juara-Juara.

Namun, perpindahan itu dikatakan agak mustahil kerana The Reds tidak mahu menjual pemain mereka kepada kelab seteru.

Status pemain berusia 20 tahun ini masih menjadi satu teka teki dan tambah menarik ejenya, Aidy Ward berkata penyerang licik itu tidak akan memperbaharui kontraknya dengan Liverpool sekalipun ditawarkan gaji 900,000 pound (RM5.085 juta) seminggu untuk kekal di Anfield.

Ward menjangkakan Manchester City atau Chelsea akan menjadi destinasi baru buat Sterling, sekali gus menamatkan spekulasi mengatakan pemain itu akan berpindah ke Real Madrid, Barcelona atau Bayern Munich.

Rundingan mengenai kontrak baharu antara Sterling dengan kelab itu gagal mencapai kata putus apabila pemain berkenaan menolak tawaran gaji sebanyak 100,000 pound (RM564,582) seminggu dan dia tekad untuk meninggalkan Anfield musim panas ini.

Sterling yang menjadi mangsa ejekan ketika anugerah tahunan Liverpool, kelmarin masih mempunyai baki kontrak dua tahun bersama Liverpool dan kelab itu menegaskan yang dia tidak akan dijual. - Agensi

12 dibaca
Berita Harian X