Khamis, 21 Mei 2015 | 12:05am
KAPAL Hai Hong. - Foto NSTP

Sejarah Pulau Bidong mungkin berulang


ADAKAH sejarah Pulau Bidong sebagai pusat penempatan pelarian bakal berulang semula dengan persetujuan terbaharu Malaysia menyediakan pusat perlindungan sementara.

Keputusan yang dicapai melalui pertemuan enam mata dengan Menteri Luar Republik Indonesia, Retno L P Marsudi dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Jeneral Tanasak Patimapragorn di Wisma Putra, semalam menyaksikan Malaysia bakal bekerjasama dengan Indonesia menyediakan penempatan pelarian.

Keputusan ini mengulangi peristiwa Pulau Bidong, yang menyaksikan kerajaan Terengganu terpaksa mengisytiharkan Pulau Bidong sebagai pusat penempatan pelarian Vietnam antara tahun 1978 hingga 1990.

Ketika itu, ramai pelarian Vietnam ketika itu mendarat di pantai dan pulau di perairan Pantai Timur.


KAPAL Hai Hong, yang membawa 2,400 pelarian Vietnam berlabuh di Pelabuhan Klang, Selangor pada tahun 1978. - Foto NSTP

Dianggarkan seramai 252,390 pelarian Vietnam mendarat di Malaysia dan seramai 4,535 bayi mereka dilahirkan. Jumlah pendaratan paling tinggi ialah dengan kapal Hai Hong di Pelabuhan Klang, yang membawa 2,400 orang pada 1978.

Keputusan Malaysia ini dilihat sebagai satu keputusan kemanusiaan, dalam menangani isu pergerakan pendatang khususnya berkaitan penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Ia juga menyaksikan kedudukan dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN semakin kukuh dan membuka mata dunia luar terhadap Malaysia.

Tapi persoalan yang timbul, kenapa perlu Malaysia yang menjadi hero dalam pergolakan dan krisis di negara ASEAN? Kenapa kerajaan Myanmar sendiri terus membisu walhal ia membabitkan rakyat negaranya sendiri?


PENEMPATAN pelarian Vietnam di Pulau Bidong. - Foto NSTP

Begitu juga dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang seolah-olah memandang sebelah mata mengenai isu berkaitan dengan pelarian Rohingya.

Kewujudan Pulau Bidong suatu masa dulu dilihat sebagai sifat kemanusiaan sebuah negara kecil yang sedang membangun dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

Tetapi, di sebalik sifat kemanusiaan ini, timbul satu permasalahan membabitkan penduduk tempatan dan nelayan di sekitar Pulau Bidong, yang memperjuangkan hak mereka dan mahu kawasan itu dijadikan kawasan bebas kepada nelayan.


KEPUTUSAN Malaysia menyediakan penempatan sementara kepada pelarian disifatkan sebagai satu misi kemanusiaan dalam menangani isu pergerakan pendatang khususnya berkaitan penyeludupan dan pemerdagangan manusia. - Foto NSTP

Bagi nelayan sekitar Pulau Bidong, pulau itu bukan saja menjadi lubuk sotong tetapi juga menjadi kawasan tangkapan ikan Zon B, iaitu untuk nelayan pukat jerut dan pukat tunda.

Tindakan kerajaan mengisytiharkan Pulau Bidong sebagai kawasan keselamatan pada tahun 1976 menghalang nelayan untuk menangkap ikan berhampiran Pulau Bidong.

Beberapa kes nelayan dihalau oleh Pasukan Petugas Pendatang Haram Vietnam (VII) kerana dikatakan menceroboh kawasan larangan sewaktu bot mereka menghampiri Pulau Bidong untuk berteduh daripada ribut, menyebabkan mereka terpaksa meredah laut bergelora untuk berteduh di pulau terdekat, iaitu Pulau Cendering.


DIANGGARKAN seramai 252,390 pelarian Vietnam mendarat di Malaysia. - Foto NSTP

Malah, nelayan di kawasan berkenaan, khususnya di Batu Rakit, Meras, Mengabang Telipot, Merang dan Setiu, mendakwa kerugian kira-kira RM2 juta setahun kerana tidak dibenarkan menangkap ikan berhampiran Pulau Bidong.

Ramai nelayan berhijrah ke tempat lain seperti Mersing, Johor dan Kedah.

Kemarahan mereka memuncak pada Februari 1989 apabila Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu) bercadang menuntut ganti rugi sebanyak RM36 juta daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).


PULAU Bidong yang menjadi pusat penempatan sementara pelarian Vietnam di antara tahun 1978 hingga 1990. - Foto NSTP

Alasan Penentu ialah kira-kira 3,000 nelayan terjejas pendapatan kerana penempatan pelarian di pulau itu menyebabkan mereka tidak boleh menangkap ikan di sekitar pulau terbabit.

Mendengar rintihan rakyat membuatkan wujudnya konflik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat, disusuli dengan memorandum kerajaan negeri pada 16 Disember 1988, meminta pulau itu yang terletak kira-kira 50 batu nautika dari Kuala Terengganu, tidak dijadikan sebagai penempatan pelarian Vietnam.

Konflik ini berakhir pada 30 November 1991 selepas kerajaan mengumumkan Pulau Bidong akan ditutup daripada menjadi pusat penempatan sementara pelarian Vietnam.


PELARIAN Vietnam menggunakan bot untuk memasuki Malaysia. - Foto NSTP

Upacara penyerahan yang dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba kepada Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, menandakan Pulau Bidong yang menempatkan pelarian Vietnam sejak 1975 bebas daripada `jajahan' rakyat asing.

Permintaan nelayan tempatan untuk mendapatkan semula lubuk hidupan laut itu akhirnya terkabul.

Menurut pemerhati politik ketika itu, keputusan menutup Pulau Bidong sepatutnya sudah lama dibuat oleh kerajaan setelah hampir 12 tahun masalah penempatan semula pelarian ke negara ketiga menjadi semakin rumit.

Keputusan kerajaan menutup Pulau Bidong untuk selama-lamanya kepada pelarian dapat mengelakkan golongan itu meninggalkan negara mereka untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Lebih penting, ia melenyapkan imej Pulau Bidong, sebagai pusat tarikan pelarian, khususnya dari Vietnam.

Namun, penutupan Pulau Bidong ini bukanlah pengakhiran kepada masalah pelarian dan pendatang asing ke Malaysia.


PELARIAN Vietnam di pusat penempatan sementara di Pulau Bidong. - Foto NSTP

Selepas Pulau Bidong ditutup, pelarian ini dipindahkan ke Kem Pelarian Sungai Besi dengan satu harapan agar masalah pelarian ini dapat diatasi.

Jangkaan semua pihak itu nyata meleset apabila bilangan pelarian Vietnam ini bertambah dan menjadikan Kem Pelarian Sungai Besi seolah-olah daerah keramat mereka.

IKUTI SIRI KEDUA 'SEJARAH PULAU BIDONG BERULANG', PEMBERONTAKAN, JENAYAH DAN KEKUASAAN PELARIAN DI KEM PELARIAN SUNGAI BESI.

Berita Harian X