Khamis, 21 Mei 2015 | 12:04am
SEBAHAGIAN daripada wanita warga asing yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran. - Foto NSTP

Lebih RM80 juta setahun dibelanja rawat penghidap HIV


KUALA LUMPUR: Kerajaan berdepan beban kewangan lebih besar jika gagal mengatasi masalah penularan jangkitan HIV melalui hubungan seks yang menunjukkan peningkatan sejak lima tahun lalu.

Ketika ini, sekitar RM80 juta setahun dibelanjakan bagi menyediakan ubat dan rawatan kepada lebih 105,000 individu dijangkiti HIV, termasuk 67,454 penagih dadah secara suntikan (IDU).

Data terkini menunjukkan, purata sembilan individu dijangkiti HIV setiap hari di negara ini, dengan dua pertiga daripadanya dijangkiti melalui hubungan seks.

Difahamkan, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM45 juta setahun bagi rawatan antiretroviral (ARV) kepada individu HIV positif. Sumber memberitahu, kos rawatan ARV bagi peringkat pertama mencecah RM1,800 setahun dan ia diberikan percuma oleh kerajaan.


SEBAHAGIAN daripada wanita warga asing yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran. - Foto NSTP

Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAC), Hisham Hussein, berkata sudah tiba masanya untuk semua pihak mengubah strategi bagi menangani perubahan trend dalam jangkitan HIV itu.

"Kalau (bilangan) pesakit meningkat, belanja (beban) akan naik. Kalau kita peruntukkan RM1 untuk pencegahan, kita boleh jimatkan 10 kali ganda perbelanjaan ini berbanding jika memberi ubat kepada pesakit," katanya kepada BH.

Hisham berkata peralihan trend jangkitan HIV turut berlaku di negara lain, bagaimanapun di sesetengah negara, misalnya Australia, jumlah jangkitan baharu adalah rendah.

"Kalau kita tengok Australia, populasi hampir sama dengan Malaysia, namun kadar jangkitan baharu HIV kurang berbanding kita. Kalau kita tengok budaya Barat lagi teruk tapi kadar HIV rendah. Ini adalah kerana keberkesanan usaha pencegahan mereka, terutama pendidikan atau kesedaran terus kepada akar umbi iaitu masyarakat," katanya.


NGO berkaitan pencegahan jangkitan HIV menggunakan pendekatan yang menggalakkan golongan berisikotinggi seperti pekerja seks untuk menggunakan kondom dalam hubungan seks. - Foto Aizuddin Saad

Hisham menegaskan, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pencegahan jangkitan HIV kini mula mengubah pendekatan dengan mendekati golongan berisiko tinggi, termasuk pekerja seks wanita dan transgender, bagi menangani penularan HIV melalui hubungan seks.

Antara pendekatan NGO ialah menggalakkan pihak terbabit membuat saringan HIV selain menekankan penggunaan kondom dalam hubungan seks.

"Kita tak boleh `tutup sebelah mata' dan katakan ia tidak berlaku. Kalau kita tak buat (pencegahan), ia (HIV) akan merebak. Kalau kita tak buat pendekatan mendekati mereka (golongan berisiko tinggi), siapa lagi yang akan mendekati mereka," katanya.

Berita Harian X