Selasa, 19 Mei 2015 | 12:03am

Seks atasi dadah penyumbang kes HIV


KUALA LUMPUR: Penularan jangkitan HIV semakin membimbangkan apabila data terkini menunjukkan 78.2 peratus daripada 3,517 kes baharu direkodkan tahun lalu adalah menerusi transmisi seks.

Daripada 2,752 jangkitan melalui hubungan seks itu, 984 membabitkan kes jangkitan lelaki mengadakan hubungan seks sesama lelaki (MSM).

Sementara itu, 680 kes atau 19.3 peratus jangkitan baru direkodkan Kementerian Kesihatan pada tahun lalu membabitkan pengguna dadah secara suntikan (IDU) yang mencatatkan penurunan signifikan sejak tahun 2005.

Senario itu amat berbeza dengan data dicatatkan pada 10 tahun lalu di mana transmisi melalui hubungan seks hanya sekitar 20-30 peratus dengan selebihnya menerusi IDU.

Data terkini Kementerian Kesihatan menunjukkan sehingga Disember 2014, terdapat 105,189 kes HIV positif di negara ini.


Pakar kesihatan awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Datuk Faisal Ibrahim

Pakar kesihatan awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Datuk Dr Faisal Ibrahim, berkata perubahan trend jangkitan HIV daripada transmisi melalui perkongsian jarum suntikan kepada transmisi perhubungan seks adalah dijangka.

Ini kerana kumpulan pengguna dadah melalui suntikan yang diberi tumpuan khas menerusi program pertukaran jarum dan rawatan terapi gantian Methadone sejak 2005, majoritinya masih melakukan perhubungan seks tanpa penggunaan kondom.

Dengan ini, katanya, mereka masih terus mengekalkan penularan HIV kepada pasangan seks melalui "unsafe sex" (seks tidak selamat) walaupun telah berjaya menyelamatkan diri dari jangkitan HIV melalui perkongsian jarum untuk dadah.

Faisal yang juga bekas Pengarah Kesihatan Selangor membayangkan situasi itu akan bertukar serius jika pendekatan intervensi yang lebih berkesan tidak dilakukan bagi menyekat penularan jangkitan melalui hubungan seks, yang sedang mendominasi kes kes baharu HIV.


"Walaupun jumlah IDU adalah tinggi, tetapi jumlah mereka yang melakukan hubungan seks lebih tinggi kerana ia (hubungan seks) adalah fitrah manusia". - Prof. Madya Datuk Faisal Ibrahim

"Walaupun jumlah IDU adalah tinggi, tetapi jumlah mereka yang melakukan hubungan seks lebih tinggi kerana ia (hubungan seks) adalah fitrah manusia.

"IDU sebenarnya mempunyai risiko tambahan terhadap jangkitan kerana disamping berkongsi jarum suntikan semasa menyuntik dadah, mereka juga melakukan seks, sama ada dengan isteri, teman wanita, pekerja seks atau secara homoseksual," katanya ketika ditemubual BH di UPM, baru-baru ini.

Laporan Kemajuan Tindakan Global AIDS Malaysia 2014 merumuskan dua pertiga jangkitan baharu HIV di negara ini, membabitkan transmisi seks.

"Tidak disangkal bahawa penggunaan dadah melalui suntikan faktor utama epidemik (jangkitan HIV) tapi ada peningkatan progresif kepada transmisi seksual.

"Jangkitan membabitkan IDU menurun dengan signifikan daripada 70-80 peratus pada 1990-an kepada 21.5 peratus pada 2013," kata laporan itu.

Laporan diterbitkan Seksyen HIV/STI Kementerian Kesihatan itu juga berkata transmisi seks berpunca daripada hubungan seks tidak selamat membabitkan golongan hetroseksual atau homoseksual (lelaki sesama lelaki).

Terma seks tidak selamat ialah hubungan seks tanpa intervensi melalui penggunaan kondom bagi mencegah pemindahan virus HIV melalui hubungan seks,

Secara umum, jangkitan HIV yang boleh menyebabkan penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) iaitu tahap akhir jangkitan HIV, dapat dicegah dengan mengelakkan perkongsian jarum suntikan, hubungan seks tidak selamat atau seks secara rambang.

Ini kerana virus HIV yang terdapat di dalam darah, air mani, cecair faraj, lelehan vagina dan susu ibu dijangkiti HIV, boleh menular melalui cara di atas, selain melalui ibu hamil HIV positif kepada anak kandungannya.

Faisal berkata, pendekatan intervensi penggunaan kondom sebenarnya telah dijalankan seiring dengan program pertukaran jarum dan rawatan Methadone, namun pelaksanaannya tidak dapat diberi tumpuan sewajarnya berikutan kekangan budaya, norma, sikap, dan penilaian masyarakat yang negatif terhadap penggunaan kondom.


"Sehingga kini masih tiada vaksin untuk mencegah HIV kecuali mengguna kondom secara betul semasa hubungan seks dengan pasangan yang HIV positif atau yang tidak diketahui statusnya (status HIV)." - Prof. Madya Datuk Faisal Ibrahim

"Masalahnya, sehingga kini masih tiada vaksin untuk mencegah HIV kecuali mengguna kondom secara betul semasa hubungan seks dengan pasangan yang HIV positif atau yang tidak diketahui statusnya (status HIV)," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, semua pihak, termasuk pemimpin agama, perlu membantu meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya kumpulan berisiko mengenai kewajaran penggunaan kondom bagi mencegah jangkitan HIV melalui hubungan seks.

Data terkini menunjukkan sebanyak 3,517 kes HIV positif dilaporkan tahun lalu berbanding 3,393 kes baharu pada 2013, meningkat 124 kes.

IDU masih mendominasi keseluruhan kes HIV dilaporkan sejak kes pertama HIV positif dikesan di negara ini pada 1986 dengan 67,454 kes, diikuti 22,942 (hetroseksual) dan 4,799 (homo/biseksual).

Ikuti pandangan Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAC), Hisham Hussein, mengenai perubahan trend penularan HIV melalui transmisi seks menerusi siri kedua dalam BH, esok.

123 dibaca
Berita Harian X