Isnin, 18 Mei 2015 | 6:23pm

JCorp peruntuk RM475 juta perbelanjaan modal bagi minyak, gas


Johor Corporation (JCorp)

JOHOR BAHRU: Johor Corporation (JCorp) memperuntukkan RM475 juta sebagai perbelanjaan modal melalui anak syarikat, Kulim Malaysia Bhd, untuk mengukuhkan cabang perniagaan mencari gali dan pengeluaran minyaknya.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata ini selaras dengan usaha kumpulan itu untuk menjadikan sektor tersebut antara penyumbang utama kumpulan pada masa akan datang.

Katanya sumbangan daripada sektor itu dijangka mula menyumbang kepada perolehan kumpulan menjelang akhir 2016.

"Kami menjangka ia akan menyumbang 50 peratus kepada perolehan kumpulan mulai 2019," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Tahunan Johor Corporation 2014 di Menara Komtar JBCC, di sini hari ini.

Kulim, melalui anak syarikatnya, Kulim Energy Nusantara Sdn Bhd, mengambil alih 60 peratus ekuiti dalam PT Citra Sarana Energi (CSE) dengan nilai RM462.68 juta pada tahun lepas.

CSE adalah syarikat pegangan pelaburan dan terlibat dalam penerokaan dan pembangunan medan minyak dan gas di Blok Barat Daya Bukit Warisan, Sumatera Tengah, Indonesia.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2014, kumpulan itu mencatat keuntungan sebelum cukai RM627 juta daripada perolehan kumpulan berjumlah RM4.69 bilion.

Kamaruzzaman berkata keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah pada tahun lepas berbanding 2013 iaitu RM1.324 bilion adalah disebabkan kejatuhan harga komoditi global.

Pada tahun lepas, harga purata minyak sawit yang dicapai adalah RM2,370 setan metrik berbanding RM2,472 setan metrik pada 2013.

"Kami menjangka harga minyak sawit bergerak dalam jajaran RM2,100 hingga RM2,200 setan metrik untuk tahun ini," katanya.

Johor Corporation mempunyai 85,000 hektar ladang kelapa sawit di Malaysia dan 44,000 hektar di Kalimantan Tengah. - BERNAMA

13 dibaca
Berita Harian X