Sabtu, 16 Mei 2015 | 11:23pm

Diaz kembali kuatkan JDT


JORGE Pereyra Diaz. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Penyerang import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz akan kembali memperkuatkan jentera serangan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengharungi aksi pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) memaklumkan bahawa bekas pemain kelab Liga Argentina, Lanus, itu akan tiba di Johor Bahru pada Selasa ini.

"Kontrak beliau bersama JDT untuk Liga Malaysia pula akan disambung kembali untuk satu setengah tahun mulai Disember 2015 hingga 2017 selepas beliau kembali dipinjamkan ke Liga Perancis dan Amerika," menurut PBNJ menerusi laman Facebook rasmi JDT; Johor Southern Tigers, hari ini.

Untuk rekod, Diaz menyertai JDT pada 2014 sebelum PBNJ dilaporkan menjual penyerang berkenaan kepada sebuah kelab di Brazil yang berminat mendapatkan khidmatnya pada Mac lepas.

JDT bakal bertemu wakil Myanmar, Ayeyawady United FC pada pusingan kedua (16 terakhir) Piala AFC yang menggunakan format kalah mati di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 27 Mei ini.

Skuad Harimau Selatan mara ke pusingan kedua Piala AFC selepas muncul juara kumpulan F yang turut melibatkan tiga pasukan lain iaitu Kitchee SC dari Hong Kong, Kingfisher East Bengal (India) dan kelab Liga Singapura, Balestier Khalsa FC. - Bernama

Berita Harian X