Khamis, 11 September 2014 | 5:32am

'Bentuk dalaman' pupuk perpaduan antara kaum

Ramai pihak mempercayai tahap perpaduan negara kini tinggi. Sehubungan itu, selain ucapan pemimpin, iklan kemerdekaan berikhtiar memperlihat keadaan ini.

Dengan ini kaum Melayu, Cina dan India disusun sebelah menyebelah, untuk memperlihat betapa baiknya hubungan etnik di Malaysia.

Selain itu, naratif perpaduan kita selalu berbentuk wacana positif. Antaranya kegemaran kepada makanan kaum lain, kehadiran ke majlis rumah terbuka negara dan pertuturan yang mencampurkan bahasa tiga kaum itu termasuk bahasa Inggeris.

Semua ini sebenarnya berbentuk luaran. Malah, ia boleh dikatakan bersifat 'kosmetik' sahaja. Dalam hal ini, makanan yang disebutkan itu adalah bahan yang ditambah untuk menyinarkan perpaduan negara yang sebenarnya tidak pun berseri.

Hubungan etnik di negara kita tidak pernah berada pada tahap baik, yakni perpaduan dalam pengertian sebenar-benarnya. Barangkali keadaan ini satu 'utopia' sahaja.

Elak konflik antara kaum

Sebaliknya, ia berada pada tahap kesepaduan sosial. Pada satu segi, ia semacam keadaan harmoni dan tiga kaum ini cuba mengelak konflik terbuka. Pada segi lain, ia disarati unsur tidak mempercayai antara satu sama lain.

Hal ini dapat dilihat apabila sesetengah rancangan kerajaan, misalnya dalam sistem pendidikan negara, dicurigai kaum tertentu. Antaranya konsep Sekolah Wawasan. Ia tidak diterima kaum Cina. Oleh itu, ia tidak dapat diteruskan dengan baik meskipun mempunyai tujuan perpaduan.

Penyatuan positif yang cuba diwujudkan selama ini perlu menekankan bentuk dalaman, sebenarnya pernah wujud dalam sejarah sosial negara. Contohnya komuniti Peranakan. Antaranya Baba Nyonya Cina Melaka dan Peranakan Cina Kelantan.

Dua kelompok ini memperlihat penyatuan tahap tinggi apabila mereka sanggup mengidentifikasikan diri mereka dengan kaum asal dan dominan di negara ini, yakni orang Melayu. Dengan ini, cara hidup mereka banyak menggunakan simbol dan proses sosiobudaya Melayu.

Bentuk dalaman ini yang perlu diberi perhatian dalam memupuk perpaduan negara. Ia menjadi dimensi psikologi yang bukan saja penting diperlihat, tetapi direalisasikan dari segenap sisi.

Ia perlu kepada adanya unsur kesediaan mengidentifikasi dengan kaum Melayu oleh kaum bukan Melayu. Dengan ini, kaum Cina misalnya perlu memperlihat tanggungjawab pada diri mereka untuk ke arah penyatuan sebegini. Ini penting selepas diberi hak dan kebebasan.

Sesetengahnya bersifat istimewa. Antaranya kebenaran kerajaan untuk menempatkan hanya guru yang memiliki kelayakan baik dalam mata pelajaran bahasa Mandarin pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia di semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Walaupun bertentangan dengan konsep perpaduan dari banyak segi, ia masih diluluskan Kabinet. Ia untuk memperkukuh bahasa Mandarin melalui strategi Bahasa Mandarin Merentasi Kurikulum.

Gagal kuasai bahasa Melayu

Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan bahasa Melayu, yakni bahasa negara tidak dapat dikuasai dengan baik di SJKC. Oleh itu, kerajaan ingin mempertingkat kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan murid Cina. Ini agar mereka dapat mengikuti pelajaran dengan lebih baik apabila ke sekolah menengah kelak.

Sudah tentu peningkatan ini juga akan membantu memupuk perpaduan negara. Dengan adanya kemahiran yang sebegitu, komunikasi antara kaum lebih lancar dan selesa.

Malangnya hasrat kerajaan ditolak kaum Cina. Daripada semua alasan yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa kaum Cina tidak mahu bersatu melalui penggunaan bahasa Melayu pada kadar yang lebih daripada yang dipersetujui itu.

Mereka boleh dikatakan tidak sanggup mengidentifikasikan diri dengan kaum Melayu, lebih-lebih lagi dalam soal bahasa Melayu. Pada mereka, bentuk dalaman begini perlu dielakkan kerana dipercayai ia akan membawa kepada asimilasi budaya, seperti yang berlaku kepada komuniti Peranakan, yang selalu diselar sebagai bukan Cina sejati.

Sesungguhnya, bentuk dalaman ini amat penting untuk penyatuan yang lebih tinggi tahapnya, tidak akan sesekali meluluhkan jati diri etnik kaum bukan Melayu. Sebaliknya, ia akan mempertingkat dimensi jati diri kebangsaan pada mereka.

Dengan ini, kaum Cina akan kelihatan lebih nasional dalam konteks perpaduan negara, selepas adanya perimbangan baik antara dua jati diri ini.

* Penulis ialah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara.

Berita Harian X