Jumaat, 15 Mei 2015 | 8:32pm
DIANA (kanan), mencium tangan Zamarul, selepas kes rujuk semula di Mahkamah Syariah Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
ZAMARUL (kanan), bersama ibu kepada Diana Rafar, Rasimah Abd Rahman (tengah), selepas kes rujuk semula. - Foto Faiz Anuar

Kalau nak cari lain memang boleh sangat - Zamarul & Diana


KUALA LUMPUR: Sepanjang tempoh bercerai, Diana Rafar dan Zamarul Hisham boleh sahaja mencari pengganti yang lain.

Tetapi kalau sudah tertulis, jodoh hidup bersama, biarlah ribut dan taufan melanda, ikatan terlerai boleh bertaut semula. Begitulah yang terjadi kepada pasangan ini, jodoh dan takdir kembali menyatukan mereka pada 14 Mei lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Pasangan itu yang disahkan bercerai talak satu pada 14 Februari lalu dan pada tarikh 14 hari bulan juga, mereka kembali bersama.

Angka 14 itu jelas Diana, hanya kebetulan. Dia sendiri tidak merancang atau menduga dua peristiwa besar dalam hidupnya (bercerai dan rujuk) jatuh pada tarikh yang sama.

Lebih menarik, amat jarang dapat disaksikan pasangan yang merujuk atau bernikah semula, melakukan upacara menyarung cincin. Tetapi rezeki memihak kepada pasangan ini apabila pihak Bainy Gold & Diamant yang beroperasi di Laman Seri Business Park, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, sudi menaja dua bentuk cincin edisi istimewa untuk mereka.


ZAMARUL menyarungkan cincin ke jari manis Diana. - Foto Faiz Anuar

"Rasa macam orang kahwin pun ada ini. Tak kurang juga terkenang memori kahwin tanggal 16 Mei 2009. Siap sarung cincin bagai. Apapun terima kasih kepada penaja cincin ini. Saya sendiri sudah menerima dua bentuk cincin daripada mereka," kata Diana membuka cerita ketika ditemui BH Plus di premis barang kemas berkenaan.

Tambah Diana lagi, ikatan yang terjalin semula antara dia dan suami, jelas membuktikan Zamarul seorang lelaki yang setia.

"Memang kalau nak bercinta dengan orang lain boleh sangat selepas kami masing masing bercerai. Peminat dia pun ramai. Bayangkan pula, dia selalu digandingkan dengan artis perempuan yang cantik.

"Saya pun beri lampu hijau untuk dia cari pengganti. Empat bulan itu memang dia boleh cari kekasih baharu. Tapi dia tetap menanti saya. Tak dinafikan, saham saya pun naik sebenarnya selepas bergelar janda. Ramai lelaki yang datang nak ambil kesempatan di atas perpisahan ini. Tapi saya memilih untuk melarikan diri selama ini.

"Saya tolak tawaran berlakon dan elak berjumpa dengan orang. Saya tukar nombor telefon. Saya tak ambil manfaat atas status janda sebelum ini. Pada masa yang sama, saya dapat rehatkan diri dan bermuhasabah diri," kata duta Dr Glow itu.

Zamarul juga dalam nada gembira dan terharu memanjatkan kesyukuran kerana pengakhiran yang terjadi menggembirakan ramai pihak. Beliau mengakui, sepanjang tempoh berpisah, beliau bimbang andai Diana berjumpa penggantinya.


PELAKON dan Penyanyi, Diana bersama Zamarul menunjukkan cincin mereka. - Foto Faiz Anuar

"Siapa tak risau isterinya disambar orang lain. Takut juga sebenarnya. Ramai jerung di luar sana. Tapi hati saya kuat mengatakan dia akan jadi milik saya juga. Saya yakin, dia takkan cari orang lain, kami akan bersatu juga.

"Alhamdulillah, Allah memudahkan niat kami. Sekalipun paras rupa saya tak seberapa dan wang ringgit tak mewah, saya sedar diri ini ada satu perkara yang tak ada pada lelaki lain. Saya ini dari A sampai Z memang suka mengemas rumah, termasuk menggosok baju. Bukanlah nak angkat diri atau memuji diri, tapi saya lihat itu cara saya tunjuk kasih sayang kepada isteri," katanya.

Diana mencelah sambil memberitahu yang beliau tidak akan berjumpa lelaki serajin Zamarul di mana-mana.

"Dia boleh pasang langsir. Dalam hati terdetik juga kalau raya nanti, dia tak ada, siapa pula yang nak pasangkan. Pinggan mangkuk pun dia boleh lap sampai berkilat. Patut pun sepanjang ketiadaannya, saya lihat berselerak sahaja rumah ini kerana dia tak ada. Dia layan saya umpama puteri," seloroh Diana.

Zamarul juga berkata, ramai wanita cuba mendekatinya sepanjang tempoh perpisahan itu.

"Ramai sebenarnya yang cuba masuk jarum. Kalau jumpa yang bagus, syukurlah. Kalau dapat yang huru-hara, tak ke teruk jadinya. Tapi saya berfikir waras, saya bayangkan kami bercinta sembilan tahun dan berkahwin lima tahun. Secara totalnya, kami sudah kenal 14 tahun.

"Andai wujud rasa berkenan kepada orang lain dalam tempoh singkat (ketika berpisah), belum tentu saya dapat mengenali hati budi sebenarnya seperti mana saya mengenali Diana.

"Alhamdulillah, Tuhan kuatkan hati saya dengan membuang segala hal negatif dan mencari segala sudut positif untuk saya terus berpaut pada yang satu. Alhamdulillah jodoh kami masih kuat, berkat sokongan peminat, wartawan dan keluarga. Saya memang tak terniat cari pengganti pun," katanya.

Mengenai upacara menyarung cincin itu, Zamarul menjelaskan ada perkara yang terjadi secara kebetulan antaranya dan Diana.

"Saya dari awal lagi memang suka makan di kedai berdekatan premis barang kemas itu. Terdetik dalam hati nak masuk ke kedai ini yang tersergam cantik. Tapi apa pula orang fikir kalau saya masuk kedai barang kemas.

"Tak ke pula timbul cerita saya nak beli cincin untuk pengganti. Jadi saya hanya pendamkan hasrat itu dan sekadar lalu lalang sahaja. Tanpa diduga, Diana turut memuat naik gambar cincin di premis yang sama di laman Instagramnya.

"Seakan sama pula cita rasa kami hingga akhirnya pihak premis ini berminat untuk menaja cincin meraikan kegembiraan kami bersatu kembali. Alhamdulillah, terima kasih kepada Bainy Gold & Diamant yang sudi menaja," katanya.


DIANA (kanan), Zamarul (dua dari kanan), bersama anaknya, Kashfi Haiqal Zamarul (kiri), Izzat Haiqal Zamarul (dua kiri), selepas kes rujuk semula di Mahkamah Syariah Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Info

* Diana Rafar, 33 dan Zamarul Hisyam, 44, melakukan pengesahan lafaz rujuk 14 Mei lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

* Lafaz rujuk dilakukan Zamarul pada 14 Februari lalu iaitu ketika masih dalam tempoh edah kira-kira jam 11.30 malam.

* Mereka diijabkabulkan pada tahun 2009 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas lapan tahun bercinta. Mereka dikurniakan anak

berusia 5 tahun bernama Kashfi Haikal.

* Perkahwinan dengan Diana adalah yang kedua buat Zamarul. Zamarul mempunyai dua anak, Izzat Haiqal dan Iqmal Haiqal, hasil perkahwinan

pertama.

367 dibaca
Berita Harian X