Khamis, 14 Mei 2015 | 3:26pm

Diana Rafar, Zamarul Hisyam sah lafaz rujuk


PELAKON dan Penyanyi, Diana Rafar (kanan) dan Zamarul Hisham (kiri), hadir untuk merujuk semula selepas bercerai di Mahkamah Syariah Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Pasangan pelakon, Diana Rafar, 33, dan Zamarul Hisyam, 44, melakukan pengesahan lafaz rujuk hari ini di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Lafaz rujuk dilakukan Zamarul pada 14 Februari lalu iaitu ketika masih dalam tempoh edah sekitar jam 11.30 malam.

Pengesahan itu disahkan Hakim Syarie, Mohd Hisyam Zakaria. Kes berkenaan adalah mengikut Seksyen 61 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2013.

"Alhamdulillah, semuanya selesai dengan baik. Kami kembali menjadi suami isteri. Jodoh kami masih kuat," kata Zamarul yang ditemui di luar mahkamah.

Perancangan asal memang pasangan ini ingin ke mahkamah untuk mengesahkan lafaz rujuk pada tarikh hari perkahwinan mereka pada 16 Mei ini.

Cuma kebetulan ia jatuh pada hari Sabtu, maka tarikh itu dianjak hari ini. Mereka diijabkabulkan pada tahun 2009 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas lapan tahun bercinta

Mereka dikurniakan anak berusia 5 tahun bernama Kashfi Haikal.

Selesai urusan di mahkamah, pasangan ini ke Bainy Gold & Diamant di Laman Seri Business Park, Seksyen 13 untuk menyarung cincin.

Terdahulu hakim syarie turut mendengar tuntutan permohonan pengesahan lafaz cerai yang dibuat Zamarul selaku defendan terhadap plaintif (Diana) pada 14 Januari lalu.

Kes berkenaan adalah mengikut Enakmen 57 Undang-undang Keluarga Negeri Selangor 2013.

187 dibaca
Berita Harian X