Khamis, 14 Mei 2015 | 12:08pm

Nad Zainal ajak sertai kelas buat kek cawan

zaidim@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Jika ada yang teringin belajar membuat kek cawan bersama Nad Zainal, barangkali ini peluang keemasan untuk menjadikan ia satu kenyataan.

Kelas kek cawan anjuran Anne Idris pemilik Instagram @mymumsbakery itu akan diadakan pada 30 Mei.

Menurut Pelakon Tv Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 itu juga menjadi ruang untuknya menimba pengalaman baharu.

Bagaimanapun ia sangat terhad kerana hanya 10 peserta sahaja berpeluang menyertai kelas berbayar ini. Tempat hanya akan dimaklumkan kepada peserta yang benar-benar berminat tak lama lagi.

"Saya pun akan belajar sekali buat kek cawan ini. Saya pun sudah tua, nak juga belajar kemahiran baharu dalam dunia pembuatan kek," katanya kepada BH Online.

Kepada yang berminat untuk menyertai kelas ini boleh hubungi talian 012-2380779 atau 017-2123330.

Nad dalam perkembangan lain baharu selesai penggambaran telefilem Andai Bukan Khilaf Itu, Dia Ibuku dan Diam Diam Rindu.

Nad turut memberitahu dia juga sudah selesai menjalani penggambaran filem Aku Haus Darahmu yang dijangka ditayangkan pada hujung tahun ini.

"Sekarang saya tengah melunaskan penggambaran telefilem Rumah Kecil Untuk Tuhan arahan Bade Azmi," katanya.

Nad memberitahu, kemenangan di ABPBH 2014 memberi impak positif terhadap kerjaya seninya saat ini.

"Saya banyak mendapat tawaran berlakon terutamanya telefilem. Malah berpeluang mencuba watak yang pelbagai termasuk yang matang," katanya.

Berita Harian X