Khamis, 14 Mei 2015 | 8:36am
JURULATIH Juventus, Massimiliano Allegri. - Foto EPA

Juve berdepan tugas berat kekang trio Barca - Allegri

MADRID: Mengekang gerakan penyerang prolifik Barcelona yang diketuai Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez pada final Liga Juara-Juara Eropah akan menjadi tugas paling sukar buat Juventus, kata jurulatihnya, Massimiliano Allegri.

Juventus mara ke pertembungan final menarik yang dijadualkan di Berlin, Jerman bulan depan selepas menyingkirkan gergasi Sepanyol, Real Madrid menerusi keputusan agregat 3-2.

Pada perlawanan separuh akhir kedua di laman lawan, Santiago Bernabeu, Juve mengikat penyandang juara Eropah itu 1-1 sekali gus membawa mereka di ambang gelaran ketiga Liga Juara-Juara.

Gergasi Itali itu mencatat kemenangan 2-1 pada perlawanan pertama di Turin dengan lawan yang ditentang di final, Barcelona sedang memburu gelaran kelima pada aksi di Stadium Olimpik Berlin, 6 Jun depan.

Begitupun, peluang Juve untuk menjuarai gelaran terulung Eropah itu bergantung sama ada mereka mampu mengekang trio serangan Barca dikenali 'MSN' diketuai Messi, Suarez dan Neymar yang ketika ini sudah meledak 114 gol untuk gergasi Sepanyol itu sepanjang musim ini.

Bintang Brazil, Neymar meledak tiga gol manakala Messi menjaringkan dua gol ketika Barca menyingkirkan juara Jerman, Bayern Munich 5-3 secara agregat di separuh akhir.

Sensasi Argentina, Messi turut menyamai jumlah gol yang dijaringkan pemain Real, Cristiano Ronaldo dengan meledak 10 gol dalam saingan Liga Juara manakala Neymar sembilan dan Suarez enam.

"Segala-galanya tidak mustahil dalam satu perlawanan namun ia akan menjadi tugas yang amat besar untuk membendung pasukan yang dikuatkan dengan pemain seperti Messi, Suarez dan Neymar," kata Allegri.

"Apapun, ketika ini saya tidak berfikir mengenai Barcelona atau menjuarai gelaran treble kerana terlebih dulu kami perlu mengharungi final Piala Itali berdepan Lazio," katanya.

Kedua-dua kelab, Juve dan Barca berpeluang untuk mengakhiri saingan musim ini dengan kejuaraan tiga trofi.

Juve begitupun lebih awal menjuarai gelaran Serie A Itali dengan Barca akan mengesahkan kejuaraan kelima La Liga Sepanyol dalam tempoh tujuh tahun seandainya menang ke atas Atletico Madrid, pada Ahad.

Pertembungan final kali ini dijangka turut mengimbas kembali kontroversi yang berlaku di Piala Dunia Brazil, tahun lalu di mana Suarez menggigit bahu pertahanan Itali, Giorgio Chiellini yang beraksi bersama Juventus. - Reuters

Berita Harian X