Rabu, 13 Mei 2015 | 6:48pm

TRX tarik pemaju hartanah utama Indonesia

KUALA LUMPUR: Tun Razak Exchange (TRX) terus mendapat perhatian pelabur global apabila berjaya menarik pemaju hartanah utama Indonesia, Mulia Group, untuk membangunkan Signature Tower di pusat kewangan antarabangsa itu.

Ia susulan termeterainya perjanjian jual beli antara 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE), pemaju induk TRX dengan pemaju hartanah terkemuka Indonesia itu bagi hak pembangunan plot berkenaan dengan urus niaga belian tanah bernilai RM665 juta.

Dengan termeterainya perjanjian itu, Mulia Group kini menyertai senarai pelabur terkemuka global lain yang melabur di TRX seperti Lend Lease International, yang mana akan memajukan projek Lifestyle Quarter bernilai RM8 bilion serta Veolia Water Technologies Southeast Asia yang akan membina dan mengendalikan operasi loji rawatan sisa air di TRX.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB RE Datuk Azmar Talib berkata : "Kami gembira dapat bekerjasama dengan Mulia Group untuk merealisasikan potensi TRX. Pelaburan penting ini menyokong keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia".

Mulia Group, yang menerajui pasaran hartanah komersial premium di Jakarta, membangun, memiliki dan menguruskan tujuh bangunan pejabat utama di pusat perniagaan Jakarta.

Hartanah berkenaan termasuklah Wisma Mulia 1 dan 2, yang mana adalah antara bangunan pejabat paling tinggi dan berprestij di Jakarta.

Presiden Direktur dan pemilik Mulia Group, Eka Tjandranegara berkata syarikat itu gembira dapat memulakan projek membangunkan Signature Tower yang akan menjadi mercu tanda baharu Kuala Lumpur.

"Kami melihat potensi TRX untuk mengukuhkan lagi peranan bandar raya ini sebagai ibu kota kewangan. Ia juga membantu pelan pertumbuhan dan pengembangan kami.

"Saya komited secara peribadinya untuk melihat projek ini berjaya berdasarkan kepada pengalaman luas kami," katanya.

Mengikut kenyataan itu, perkhidmatan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) akan menghubungkan TRX ke stesen terminal Kereta Api Laju akan datang di Bandar Malaysia dan menghubungkannya ke pusat kewangan Singapura.

TRX juga akan dihubungkan terus ke jalan raya utama dan lebuh raya utama seperti SMART, MEX, Jalan Tun Razak dan Jalan Sultan Ismail.

Berita Harian X