Rabu, 13 Mei 2015 | 10:27am

Pendakwah cekal tidak mudah mengaku kalah

Perihal dan peristiwa yang berlaku kepada nabi serta rasul memberi pengajaran besar kepada umat terdahulu sehingga kini. Kisah dirakamkan melalui ayat suci al-Quran bukanlah kisah dongeng atau yang direka-reka, tetapi sebagai peringatan Allah SWT kepada hamba-Nya supaya terus beriman tanpa memilih kiblat lain.

Melalui rancangan Ibrah di IKIMfm yang disiarkan setiap Isnin jam 5.15 petang, Ustaz Syaari Abdul Rahman menyambung kisah Nabi Nuh, kisah dakwah yang unik sehingga Allah SWT menguji Baginda untuk menguruskan anaknya yang tidak mahu beriman kepada Allah SWT.

Kisah Nabi Nuh banyak disebutkan dalam ayat al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (Hari Kiamat)." (Surah al-A'raf, ayat 59)

Allah SWT mengutuskan kehadiran Nabi Nuh sebagai penyelamat supaya kaum dan pengikutnya beriman, tetapi mereka tidak mempedulikannya.

Ini dijelaskan lagi Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Ketua dari kaumnya berkata: Sesungguhnya kami nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-A'raf, ayat 60)

Tak pernah mengalah

Lalu, Nabi Nuh yang ditugaskan Allah SWT untuk menjadi dai kepada kaumnya itu tidak pernah mengalah, malah menyandarkan bahawa Baginda adalah utusan daripada Yang Maha Esa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Nabi Nuh menjawab: Wahai Kaum-Ku! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang rasul dari Tuhan sekalian alam." (Surah al-A'raf, ayat 61)

Imam Bukhari meriwayatkan daripada hadis Juraij bin Atho' dari Ibnu Abbas ketika mentafsirkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr." (Surah Nuh, ayat 23)

Wadd, Suwaa', Yaghuth, Ya'uuq, dan Nasr adalah orang salih daripada kaum Nabi Nuh. Ketika mereka wafat, syaitan telah membisikkan kepada kaumnya untuk membuat patung mereka di kawasan tempat mereka duduk, lalu setiap patung diberi nama dengan nama mereka.

Ibnu Jarir at-Thabari dalam tafsirnya menyebutkan nama itu adalah orang salih yang hidup pada masa antara Nabi Adam dan Nabi Nuh. Mereka memiliki ramai pengikut yang selalu mengikut jejak langkah mereka.

Namun, apabila mereka meninggal dunia, pengikutnya menyatakan, "Seandainya kita buatkan patung mereka, tentu akan membuatkan kita mengingati mereka dan mendorong kita untuk rajin beribadah." Lalu perkara itu dilaksanakan.

Apabila pengikutnya meninggal dunia, Iblis telah membisikkan generasi berikutnya dengan berkata, "Sungguh mereka menyembahnya dan meminta hujan dengan perantara patung ini. Akhirnya patung-patung itu disembah oleh mereka."

Daripada peristiwa itulah wujudnya kerosakan yang amat dahsyat terhadap kaum Nabi Nuh dengan penyembahan patung (berhala) di atas muka bumi ini. Lalu, Allah SWT mengutuskan Nabi Nuh untuk menyeru kaumnya beribadah hanya kepada Allah SWT dan tidak menyekutukan-Nya serta melarang penghambaan selain kepada-Nya.

Kemudian, selepas diutus seorang rasul, Nabi Nuh menjalankan dakwah kepada kaumnya untuk beribadah semata-mata kepada Allah SWT. Dia melarang kaumnya menyembah berhala, patung atau pelbagai bentuk taghut.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat yang mendustakan rasul-rasul-Nya." (Surah an-Nahl, ayat 36)

Cekal dan kuat berdakwah

Usaha Nabi Nuh untuk berdakwah kepada kaumnya tidak membatasi waktu antara siang dan malam. Seruan Nabi Nuh ini menunjukkan betapa cekal dan kuatnya Baginda meninggalkan urusan dunia untuk mentadbir kaumnya itu.

Nabi Nuh berkata seperti yang diceritakan dalam al-Quran dalam surah Nuh, ayat 5, yang bermaksud: "(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman)."

Kata Nabi Nuh lagi, "Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran)." (Surah Nuh, ayat 6)

Kemudian Nabi Nuh berkata, "Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau." (Surah Nuh, ayat 7)

Begitulah kisah Nabi Nuh berusaha menjalankan amanah menyeru kebaikan kepada kaumnya itu. Proses pendidikan dan pentarbiahan bukanlah satu tempoh yang singkat kerana usaha yang berterusan akan memberikan natijah luar biasa. Justeru, dai yang benar-benar memahami hakikat jalan dakwah tidak akan terhenti di pertengahan.

Berita Harian X