Selasa, 12 Mei 2015 | 11:05pm

Piala AFC: JDT juarai kumpulan benam Balestier 3-0


PEMAIN JDT, Safiq Rahim dapat melepasi pertahanan Balestier Khalsa FC pada saingan Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) bangkit garang meledak tiga gol pada babak kedua untuk menewaskan wakil Singapura, Balestier Khalsa FC 3-0 pada aksi Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Kemenangan ini menyaksikan skuad bergelar Harimau Selatan itu muncul juara Kumpulan F dan layak ke pusingan 16 terakhir.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-76 hasil rembatan pemain gantian, Safee Sali

yang melibas bola tepat menerjah jaring menewaskan penjaga gol pelawat, Zaiful Nizam.

Ketika aksi berbaki lima minit Safiq Rahim menambah gol kedua dengan rembatan kencang sebelum Luciano Figueroa mengesahkan mata penuh JDT dengan gol ketiga pada minit terakhir permainan.

JDT dijadual bertemu naib juara Kumpulan H pada pusingan kedua di gelanggang mereka pada 27 Mei ini.

Dalam pada itu, wakil dari Hong Kong, Kitchee SC berjaya mengiringi JDT ke pusingan kedua kejohanan dengan kutipan 11 mata walaupun seri 2-2 menentang kelab dari India, East Bengal pada satu lagi perlawanan kumpulan F di Stadium Mongkok, Hong Kong.

Berita Harian X