Selasa, 12 Mei 2015 | 5:40pm
DIANA Rafar bersama bekas suaminya, Zamarul Hisyam.

Diana Rafar, Zamarul Hisyam nikah semula 14 Mei ini

KUALA LUMPUR: Kuasa Tuhan dan berkat doa ramai, akhirnya Diana Rafar akan bernikah semula dengan bekas suaminya, Zamarul Hisyam pada 14 Mei ini.

Pasangan ini bercerai 15 Januari lalu dan hasil perkongsian hidup mereka pada 16 Mei 2009, mereka dikurniakan seorang anak bernama Kashfi Haikal.

Perancangan asal memang pasangan ini ingin ke mahkamah untuk bernikah semula pada tarikh hari perkahwinan mereka.

Cuma kebetulan 16 Mei ini jatuh pada hari Sabtu, maka tarikh itu dianjak ke 14 Mei. Bagaimanapun pasangan ini merahsiakan mahkamah mana yang akan menjadi saksi mereka nikah semula.

"Asalnya memang nak tarikh perkahwinan kami menjadi saksi ikatan kami terpateri semula. Tapi apakan daya, ia jatuh pada hujung minggu . Tapi tak mengapa, semua ini sudah tertulis begitu," kata Zamarul kepada BH Online.

Ditanya mengenai komen untuk bernikah semula, Zamarul memanjat kesyukuran kerana ujian yang dihadapi terhadap kemelut rumah tangga mereka akan berakhir dengan sebuah penamat yang diharap baik sekali gus untuk kebaikan bersama.

"Alhamdulillah ikatan jodoh masih kuat. Ada hikmah di sebalik perceraian kami. Setiap apa yang terjadi membuatkan saya dan dia lebih bersyukur dan menghargai hidup.

"Kami juga tidak ambil kesempatan di atas perpisahan ini untuk mencari pengganti atau hidup bebas. Apa yang terjadi menjadi ruang kami memperbetulkan keadaan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

"Ruang ini juga menjadi landasan untuk silaturahim yang terputus itu bercantum kembali. Termasuk mengatasi masalah kecil supaya tidak terus melarat.

"Akhirnya ia juga bertitik tolak kepada niat kami untuk kembali mengecap bahagia bersama. Belum tentu kalau kami ada orang lain, orang kedua mahupun ketiga itu akan jadi lebih baik daripada yang pertama," katanya.

Diana pula berkata, semua ini terjadi atas kehendak Tuhan.

"Jodoh pertemuan, ajal maut semua atas-Nya. Kita merancang tapi tak mampu menandingi kuasa Tuhan.

"Alhamdulillah jodoh kami masih panjang untuk kembali bersama. Kalau berusaha sebanyak mana pun, kalau Tuhan sudah tak izinkan maka tak jadi juga," katanya.

Tambah Diana, selama menjadi ibu tunggal, dia lebih banyak menyerah apa saja kepada Tuhan.

"Atas doa orang di luar sana yang menginginkan kami kembali, akhirnya ia dimakbulkan," kata duta Dr Glow itu.

Berita Harian X