Ahad, 10 Mei 2015 | 12:07pm

Jenazah Nor Atikah selamat dikebumikan


AHLI keluarga menyiram air mawar ke pusara Nor Atikah Alias, 25, pelajar Malaysia yang meninggal dunia dalam kebakaran asrama di Rusia pada 22 April lalu selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit, Gaal pada jam 10.45 pagi tadi. - Foto Syamsi Suhaimi

PASIR PUTEH: Jenazah Nor Atikah Alias, pelajar Malaysia yang meninggal dunia dalam kebakaran asrama di Russia pada 22 April lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Jeram Linang di sini, hari ini.

Jenazah Nor Atikah disemadikan bersebelahan kubur neneknya, Allahyarham Esah Ali pada kira-kira 10.45 pagi ini.

Jenazah pelajar perubatan itu sebelum itu disembahyangkan di rumah bapa saudaranya, Mat Yaacob Mat Jusoh yang terletak bersebelahan dengan tanah perkuburan berkenaan.

Jenazah Allahyarham yang dibawa pulang dari Moscow, Russia, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.45 malam tadi dan terus dibawa dengan kereta jenazah dan tiba pukul 8.30 pagi ini di rumah bapa saudaranya itu.

Turut mengiringi jenazah dari Moscow dan KLIA ialah bapa Allahyarham, Alias Yaacob; ibu, Najihah Mat Jusoh, serta tunang Nor Atikah iaitu Wan Mohd Ikwan Wan Sayuti.

Nor Atikah, 25, pelajar perubatan tahun akhir Universiti Perubatan Kajian Kebangsaan Russia di Moscow meninggal di Unit Rawatan Rapi Hospital Sklifosovskogo akibat melecur 30 peratus pada muka, tangan dan kaki.

Segala kos untuk membawa pulang jenazah Nor Atikah ditanggung oleh kerajaan Terengganu kerana Allahyarham adalah pelajar tajaan Yayasan Terengganu.

Turut menziarahi jenazah ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Terengganu, Ghazali Taib; dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

Najihah, ketika ditemui pemberita, berkata beliau sempat bertemu dan bercakap dengan Nor Atikah sebelum anaknya itu meninggal dunia tiga hari kemudian di hospital berkenaan.

"Dalam pertemuan itu, Nor Atikah banyak menceritakan soal syurga. Beliau seorang anak yang baik dan saya reda pemergiannya (meninggal dunia)," katanya.

Nor Atikah ialah anak kedua daripada lima beradik. Bapanya seorang anggota polis trafik berpangkat sarjan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Sementara itu, Mat Yaacob berkata dua ekor lembu yang telah disediakan untuk majlis perkahwinan Nor Atikah pada Ogos ini, akan digunakan untuk membuat kenduri tahlil untuk Allahyarham.

Beliau berkata, Allahyarham amat rapat dengan keluarganya dan apabila setiap kali pulang bercuti dia akan datang ke rumahnya.

- BERNAMA

83 dibaca
Berita Harian X