Ahad, 10 Mei 2015 | 12:21am

Burnley tersingkir dari EPL

PENGURUS Burnley, Sean Dyche memberi tepukan kepada penyokong selepas tamat perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Hull City. - Foto Reuters

LONDON: Burnley sah tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris, Sabtu walaupun mencatat kemenangan 1-0 ke atas Hull City.

Kemenangan ini menyaksikan mereka berada tujuh mata di luar zon selamat dengan baki dua perlawanan lagi.

Burnley yang dinaik pangkat ke liga elit dari Liga Kejuaraan, musim lalu memberi gegaran awal apabila mengejutkan Manchester City 1-0, Mac lalu tetapi anehnya tidak menang enam perlawanan selepas itu, termasuk lima kekalahan.

Gol tunggal Burnley adalah jaringan Danny Ings pada minit ke-62 di Stadium KC untuk menamatkan kemarau jaringan selama 1,036 minit bagi pasukan pimpinan Sean Dyche.

Ini adalah kali kedua Burnley tersingkir dari EPL selepas dipalit nasib sama pada musim 2009-2010. - AFP

Berita Harian X