Jumaat, 8 Mei 2015 | 6:14pm

Audi lancar generasi ketiga TT Coupe


Immo Buschmann (kanan) dan Ketua Pemasaran Produk Audi Malaysia, Izwan Wong bersama Audi TT generasi ketiga pada majlis pelancaran di SPS Open Car park, Bukit Bintang hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Audi Malaysia memperkenalkan jentera berprestasi tinggi terbarunya, Audi TT generasi ketiga pada harga RM284,178 seunit.

Pengarah Urusan Audi Malaysia, Immo Buschmann, berkata syarikat menyasar prestasi jualan lebih tinggi berbanding varian sebelum ini.

"Kami mencatat peningkatan jualan hingga 4.3 peratus apabila menjual 342 unit pada suku pertama tahun ini berbanding 328 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

"Tahun lalu, jualan Audi di Malaysia mencecah 1,619 unit dan kami dapati terdapat peningkatan setiap tahun," katanya pelancaran model baharu itu di sini hari ini.

Enjin petrol empat silinder 2.0 TFSI yang dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, membolehkan Audi TT generasi ketiga ini menjana 230 bhp dan tork 230 Nm.

Model ini 50 kg lebih ringan berbanding sebelumnya sekali gus diterjemahkan dengan purata penggunaan minyak 6.3 liter bagi 100 kilometer.

Coupe 2.0 liter ini ditawarkan dengan 10 pilihan warna, Ibis White, Glacier White, Brilliant Black, Scuba Blue, Tango Red, Floret Silver, Monsoon Grey, Nano Grey, Mythos Black dan Daytona Grey.

Audi TT Coupe baharu ini diperkenalkan pada Pameran Motor Geneva pada Mac tahun lalu.

Berita Harian X