Jumaat, 8 Mei 2015 | 12:19am
KEBERGANTUNGAN kepada teknologi dan kepakaran siber asing boleh menyebabkan kita menjadi mangsa tanpa disedari.
BAHAYANYA penggodam telefon pintar kerana mereka berupaya mencuri gambar peribadi selain maklumat perbankan dan menyebarkannya kepada orang lain.

Malaysia perlu sistem pertahanan serangan siber


PENGGODAM kemudian memiliki akses untuk memperoleh semua maklumat sasaran seperti senarai nombor talian, e-mel, kata laluan perbankan dan rangkaian sosial.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengakui sistem pertahanan siber negara, khususnya dalam agensi kerajaan dan swasta, lemah serta kurang efektif.

Pengerusinya, Datuk Dr Halim Shafie, berkata kelemahan sistem itu memudahkan penggodam melakukan serangan terhadap ruang siber Malaysia secara berselindung dan sukar dikesan.

Antara kelemahan utama dikesan ialah pengurusan kod kitar semula, penggunaan perisian pihak ketiga dan banyak perkara asas keselamatan siber.

Sistem pertahanan lemah

Berikutan itu, beliau mencadangkan Malaysia membangunkan sistem pertahanan sibernya sendiri untuk menangani serangan pengintip siber dan melindungi maklumat negara.

"Untuk itu, institusi seperti MIMOS Berhad perlu lebih agresif dalam penyelidikan mereka dalam bidang berkenaan.

"Saya juga berpendapat makmal forensik siber seperti di CyberSecurity Malaysia, SKMM dan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertingkatkan untuk menangkis serangan siber ini," katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan BH mengenai serangan atau cubaan melakukan serangan terhadap ruang siber Malaysia hampir setiap hari oleh penggodam antarabangsa.

Susulan laporan itu, seorang penggodam profesional mendedahkan keupayaannya menggodam pelayan agensi kerajaan dan swasta di negara ini dalam tempoh lima minit.

MIMOS adalah pusat penyelidikan dan pembangunan kebangsaan dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat.


PENGGODAM selalunya akan mencipta beberapa aplikasi yang dihantar ke nombor talian sasaran.

Pengguna perlu sedar

Halim berkata, kelemahan sistem pertahanan siber menjadi cabaran paling besar bagi SKMM ketika ini.

"Apa yang perlu dipertingkatkan buat masa ini adalah pelaksanaan sistem keselamatan yang lebih efektif oleh semua pihak, serta tahap keprihatinan pengguna terhadap amalan keselamatan siber yang baik.

"Pendedahan BH mengenai isu ini amat baik untuk menyedarkan pengguna internet supaya tidak mengabaikan keselamatan siber masing-masing.

"Dasar dan undang-undang keselamatan siber sedia ada boleh dilaksanakan secara berkesan dengan kerjasama semua pihak," katanya.

Halim memberi jaminan SKMM bersama dengan pembekal perkhidmatan komunikasi dan multimedia akan terus memastikan infrastruktur rangkaian negara berada dalam persekitaran yang boleh dipercayai.

"Ini penting untuk menjalankan urus niaga elektronik, termasuk perbankan dan pembayaran. Kita juga perlu memperkasakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 khusus dalam menangani isu keselamatan rangkaian," katanya.


SISTEM operasi Android telefon pintar lebih mudah digodam berbanding komputer biasa.

Android mudah digodam

Sementara itu, satu kajian dilakukan pakar teknologi maklumat tempatan mendapati sistem operasi Android telefon pintar lebih mudah digodam berbanding menerusi komputer biasa.

Ini berikutan, kegiatan menggodam dilakukan menerusi pelbagai aplikasi menarik yang ditawarkan kepada pengguna tanpa mereka sedari.

Kajian bertajuk 'Android Botnet Detection and Response System' itu mendapati kegiatan pengintipan paling mudah dilakukan menerusi sistem telefon pintar tanpa disedari pengguna.

Kajian itu dilakukan pensyarah Jabatan Keselamatan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia, Zubaile Abdullah bersama Dr Madihah Saudi dari Universiti Sains Islam Malaysia dan Dr Nor Badrul Anuar dari Universiti Malaya.


Zubaile Abdullah

Penggodam umpan mangsa

Zubaile berkata, penggodam selalunya akan mencipta beberapa aplikasi yang dihantar ke nombor talian sasaran.

"Sasaran kemudian diminta akan klik satu butang aplikasi untuk memuat naik aplikasi itu.

"Penggodam kemudian memiliki akses untuk memperoleh semua maklumat sasaran seperti senarai nombor talian, e-mel, kata laluan perbankan dan rangkaian sosial.

"Biasanya penggodam menggunakan 'Trojan' dan 'Botnet' untuk melumpuhkan sistem dan mengambil alih sistem itu sendiri tanpa disedari pengguna," katanya kepada BH.

Zubaile berkata, bahayanya penggodam telefon pintar kerana mereka berupaya mencuri gambar peribadi selain maklumat perbankan dan menyebarkannya kepada orang lain.

"Terdapat dua jenis penggodam, iaitu white hat hacker (penggodam baik) yang menceroboh sistem untuk menyemak kelemahan, manakala black hat hacker (penggodam jahat) pula menggodam untuk melumpuhkan sistem, akses maklumat kewangan dan apa-apa maklumat yang diperlukan pesaing yang mengupah mereka.

"Kita perlu mengambil pengajaran bahawa sistem pertahanan Iraq berjaya dilumpuhkan oleh Amerika Syarikat menggunakan teknik sama sehingga mereka kalah dalam peperangan.

"Lebih membahayakan kebergantungan kita kepada teknologi dan kepakaran siber asing boleh menyebabkan kita menjadi mangsa tanpa kita ketahui.

"Sebagai contoh, syarikat pembuat pesawat akan memasukkan sistem mereka sendiri tanpa diketahui pembeli dan ia berguna jika kontrak pembelian tidak dipatuhi," katanya.


DR Nor Badrul Anuar (kiri) dan Dr Madhihah Ahmad Saudi. - Foto NSTP

54 dibaca
Berita Harian X