Khamis, 7 Mei 2015 | 8:44pm

Bayi meninggal terjerut kain buaian

JOHOR BAHARU: Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia akibat terjerut kain buaian di rumah keluarganya di Taman Century Garden, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Superintendan Abdul Wahib Musa, berkata Brian Lim meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang.

"Sebelum kejadian, ibunya memberi makan kepada ketiga-tiga anaknya sebelum menyuruh mereka masuk tidur di bilik utama. Mangsa diletakkan dalam kain buaian. Kemudian, dia ke dapur membuat kerja rumah dan setelah selesai, dia masuk semula ke bilik berkenaan namun mendapati mangsa telah terjatuh ke bahagian lapis sarung nyamuk kain buaian itu dengan kepalanya tergantung keluar," katanya.

Beliau berkata, panik dengan kejadian itu, ibu berkenaan terus mengangkat badan anaknya itu, namun mendapati mangsa tidak lagi bergerak.

"Dia cuba menyelamatkan anaknya dengan memanggil ambulans untuk ke klinik berhampiran. Namun, apabila ambulans sampai, mangsa sudah tidak bernyawa. Suaminya yang sedang bekerja di Singapura sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - BERNAMA

Berita Harian X